Brain Drain Di Malaysia: Realiti Pahit Yang Berlaku Kini

Brain drain‘ di Malaysia merupakan topik yang sering dikupas daripada dahulu lagi sehingga menjadi tajuk perbincangan yang sering dipapar di portal berita mahupun media sosial.

Hal ini tidak ketinggalan juga ramai pihak terutamanya ahli akademik yang mula risau melihat trend ini yang semakin meningkat di Malaysia.

Terbaharu, isu brain drain dilihat semakin mendapat perhatian massa apabila timbulnya keluhan daripada kakitangan MAB Engineering – syarikat yang menjalankan penyelenggaraan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang mengatakan gaji yang diterima oleh mereka amat kecil jika dibandingkan dengan syarikat penerbangan lain.

Isu ini menjadi semakin hangat selepas difahamkan lebih 60 pekerja MAB Engineering yang terlibat dalam penyeliaan, pembaikan dan baik pulih semua pesawat MAS telah meletak jawatan.

Mereka ini yang terdiri daripada anak tempatan mungkin akan berhijrah ke luar Malaysia untuk mendapatkan gaji yang lebih setimpal dan wujud ura-ura mereka diburu oleh SIA Engineering Company (SIA EC) yang merupakan firma penyelenggaraan pesawat dimiliki Singapore Airlines selepas membuka dua hangar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Situasi ini amat merisaukan kerana Malaysia berpotensi untuk kehilangan bakat tempatan yang berkualiti tinggi.

Apa Itu Brain Drain?

Brain drain merujuk kepada fenomena di mana tenaga kerja berkemahiran tinggi terutamanya individu yang berpendidikan dan berkelayakan meninggalkan negara asal mereka untuk mencari peluang yang lebih baik di negara lain.

Keadaan ini berpunca daripada peluang ekonomi yang lebih baik di mana negara maju biasanya menawarkan gaji yang lebih tinggi, faedah yang lebih baik dan peluang kerjaya yang lebih banyak.

Hal ini menarik golongan profesional daripada negara yang membangun seperti Malaysia untuk berhijrah ke negara yang mampu menyediakan semua faedah itu.

Trend ini sudah pun lama berlaku apabila terdapat sebahagian rakyat Malaysia yang bekerja dalam bidang kejururawatan dan kejuruteraan berhijrah ke negara Timur Tengah seperti Arab Saudi kerana menawarkan gaji yang lebih baik berbanding Malaysia.

Pekerja dalam bidang kesihatan di Malaysia daripada dahulu hingga kini mengalami masalah bayaran gaji yang kurang setimpal dengan tugas mereka malahan lebih kritikal apabila jawatan mereka tidak terjamin kerana ditawarkan jawatan secara kontrak sahaja.

Buktinya dapat dilihat seramai 9,152 jururawat terlatih Malaysia berhijrah ke 24 negara di seluruh dunia sejak lima tahun lalu.

Walaupun terdapat faktor lain berlakunya brain drain seperti kualiti hidup, keadaan sosial dan politik serta peluang penyelidikan dan pembangunan namun faktor ekonomi memainkan peranan utama berlakunya penghijrahan mereka ke luar negara.

Statistik Penghijrahan Makin Meningkat Dan Kerajaan Perlu Lakukan Sesuatu

Laporan The Business Times melaporkan bahawa penghijrahan tenaga kerja daripada Malaysia ke negara luar semakin meningkat bermula tahun 2015 sehingga 2020.

Penghijrahan tenaga kerja ke Singapore meningkat sebanyak 1%, Australia meningkat 24%, Britain meningkat 6%, Amerika Syarikat meningkat 3%, New Zealand meningkat 25%, India meningkat 9% dan China serta Hong Kong meningkat 4%.

Hal ini tidak mustahil statistik pada 2024 menunjukkan lebih banyak peningkatan dan menjadikan Malaysia sebagai negara pengimport tenaga kerja.

United Nations Department of Economic and Social Affairs mengeluarkan statistik bahawa 1.8 juta orang diaspora Malaysia yang tinggal di luar negara, majoriti 60% tinggal di Singapura ditambah pula pemegang ijazah sarjana muda daripada Malaysia yang bekerja di Singapura meningkat kepada 74.1% pada 2021 daripada 70.6% pada 2020.

Hal ini menunjukkan bahawa negara jiran kita iaitu Singapura telah menggunakan tenaga mahir kita untuk membangunkan negara mereka.

Kerajaan perlu melakukan sesuatu kerana sudah ramai cerdik pandai kita memilih untuk berkhidmat di luar negara dan memajukan negara sana.

Diharapkan cadangan kerajaan melalui Dasar Gaji Progresif dapat membantu menarik tenaga mahir tempatan untuk kekal berkhidmat di Malaysia.

Di kala isu kos sara hidup yang makin membimbangkan, seeloknya cadangan ini dipercepatkan pelaksanaannya bagi menunjukkan kerajaan amat prihatin terhadap nasib rakyat tanpa mengira status pekerjaan.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hormati Islam Sebagai Agama Rasmi Malaysia

Next Post

BERJASA Desak Siasat MCCBCHST Bawah Akta Hasutan

Related Posts