Isu lantikan politik dalam GLC ataupun syarikat berkaitan kerajaan sering menjadi perbincangan yang hangat dalam pentas politik Malaysia.
Budaya lantikan politik ini sudah lama diamalkan daripada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
PH sewaktu menjadi pembangkang dahulu begitu kuat membantah lantikan politik ini dengan alasan ia hanya akan mengkayakan ahli politik kerajaan sahaja.
Mereka menegahnya juga dengan berhujah bahawa pengurusan dan pentadbiran GLC akan menjadi lemah kerana melantik individu yang tidak kompeten serta berkelayakan.
Namun demikian, budaya ini rupa-rupanya tetap diteruskan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengatakan lantikan politik dalam GLC tetap dibuat namun mengikut kelayakan dan profesional.
Hal ini telah mengundang kepada kritikan daripada badan bukan kerajaan seperti Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) yang membidas pendirian Anwar Ibrahim yang masih membiarkan budaya lantikan politik dalam GLC diteruskan oleh kerajaan.
GLC yang sepatutnya menjadi badan atau syarikat yang membawa keuntungan kepada kerajaan akhirnya menjadi tempat untuk menghargai kesetiaan politik dan mengekalkan kesetiaan.
Kerajaan PH Hipokrit Dalam Isu Lantikan Politik Dalam GLC
Terbaharu telah tular mengenai satu ciapan di laman sosial X yang memaparkan ahli politik daripada parti DAP iaitu YB Tuan Syahredzan Johan (Ahli Parlimen Bangi) dan YB Puan Young Syefura Othman (Ahli Parlimen Bentong) yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah di dalam Yayasan Bank Rakyat.
Yayasan Bank Rakyat bukan entiti perniagaan GLC tetapi ia merupakan sebuah yayasan yang dinaungi oleh sebuah GLC.
Yayasan Bank Rakyat ini merupakan sebahagian daripada ekosistem GLC di Malaysia kerana ia merupakan cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Rakyat yang merupakan sebuah GLC.
Bank Rakyat dimiliki oleh Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dan beroperasi di bawah Akta Koperasi 1993 dan yayasan ini dipertanggungjawabkan untuk menjalankan aktiviti berkaitan pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti sebagai salah satu usaha CSR bank tersebut.
Adakah kerajaan sudah tiada calon yang berkelayakan untuk mengisi jawatan di dalam yayasan tersebut?
Apakah kelayakan mereka berdua untuk mendapatkan jawatan tersebut sedangkan negara ini masih ramai tokoh korporat yang boleh mengisi jawatan itu.
YB Puan Young Syefura binti Othman ini turut menjawat jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang merupakan entiti GLC di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
FAMA bertanggungjawab untuk menguruskan dan promosi hasil pertanian yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memperkasakan sektor pertanian.
Beliau hanya berlatarbelakangkan bidang kejuruwatan dan langsung tiada pengalaman dalam industri pertanian maka perlantikannya dalam FAMA sewajarnya dipertikaikan oleh orang ramai.
Kerajaan sekarang ini atau lebih tepatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sendiri bersikap hipokrit dalam kenyataan kononnya mahu melantik yang berkelayakan sahaja menerajui GLC.
Namun ia tidak menghairankan jika dibandingkan dengan janji-janji kosong beliau kepada rakyat sewaktu menjadi pembangkang dahulu.