Insiden kemalangan yang berpunca daripada pemandu mabuk di Malaysia sering berlaku saban tahun dan pasti akan memakan korban jiwa mangsa yang tidak bersalah.
Terbaharu berlaku insiden kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu mabuk merempuh sebuah motorsikal dinaiki pasangan suami isteri sehingga maut di Johor Bahru.
Suspek yang mabuk berumur 34 tahun itu telah ditahan dan kemudian telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Sebelum itu juga berlakunya kemalangan maut yang melibatkan seorang pekerja kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dirempuh oleh sebuah kereta dipercayai dipandu oleh lelaki dalam keadaan mabuk di Masjid Tanah, Melaka.
Kedua-dua insiden yang mendapat liputan meluas oleh media ini berlaku dalam bulan November ini yang menampakkan pemandu mabuk kini semakin bermaharajlela dan berani di atas jalan.
Sudah pasti insiden maut melibatkan pemandu mabuk ini sudah banyak berlaku sebelum ini hingga membangkitkan rasa marah orang Malaysia.
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pernah mengeluarkan laporan pada 2020 bahawa pemandu yabg memandu di bawah pengaruh alkohol adalah 13 kali lebih berisiko menyebabkan kemalangan.
Kerajaan Tidak Bertegas Menghukum Pemandu Mabuk
Sudah banyak liputan berita yang meluas terhadap insiden kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk sehingga mengundang kemarahan orang ramai.
Rakyat beranggapan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia terhadap pemandu mabuk amat ringan hingga mereka yang gemar mabuk ini merasakan bukan satu kesalahan untuk memandu dalam keadaan mabuk.
Di negara-negara Barat yang majoritinya bukan beragama Islam dan menjadikan minum arak sebagai budaya mereka, peraturan yang dikenakan terhadap pemandu mabuk lebih ketat bagi penjualan dan promosi alkohol seperti di California, Belanda dan New Zealand.
California hanya membenarkan arak boleh dijual antara pukul 6 pagi hingga 2 pagi dan menetapkan kesalahan jika meminum, memiliki atau menyimpan bekas alkohol secara terbuka dalam kereta kecuali disimpan di dalam beg.
Belanda pula menetapkan undang-undang di mana sebarang iklan mengenai arak hanya boleh disiarkan antara pukul 6 pagi dan 9 malam.
Selain itu, New Zealand menetapkan kelab malam dan restoran dibenarkan untuk menjual alkohol antara 8 pagi hingga 4 pagi manakala di kedai biasa ia hanya boleh dijual antara jam 7 pagi dan 11 malam.
Berbeza pula dengan Malaysia yang membenarkan arak dijual di kedai serbaneka 24 jam tanpa had waktu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Jika dibandingkan dengan ketiga-tiga negara ini, Malaysia sepatutnya berasa malu kerana negara yang dipimpin oleh pemimpin Islam kerana undang-undang melibatkan arak amat ringan.
Undang-undang mengawal penjualan arak sepatutnya diperkenalkan oleh kerajaan jika tetap berkeras ingin membenarkan penjualan arak diadakan di Malaysia atas alasan kononnya menghormati hak orang bukan Islam.
Tidak guna untuk mengulas mengenai hukuman kepada pemandu mabuk jika undang-undang kawalan terhadap jualan arak tidak dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Sampai bila kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu mabuk ini ingin berlaku hingga membunuh ibu bapa dan anak orang yang tidak bersalah?
Mungkin apabila insiden ini melibatkan golongan berkepentingan baharu kerajaan ingin mengambil tindakan yang keras.