Di kala rakyat berdepan kesukaran untuk membeli rumah disebabkan oleh harga rumah di Malaysia yang begitu mahal, muncul laporan yang mengatakan harga rumah teres dijangka meningkat 5% menjelang Disember 2025.
Firma penilaian hartanah Juwai IQI, Irhamy Valuers International mengatakan bahawa pertumbuhan 5% ini mewakili prestasi rumah teres yang lebih kukuh berbanding tahun lalu.
Walaubagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Irhamy Valuers International, Irhamy Ahmad berkata rumah teres bukanlah jenis rumah dengan harga yang tertinggi jika dibandingkan dengan jenis rumah yang lain.
Tambah beliau lagi, ekonomi negara juga bakal berkembang pada 2025 dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang dijangka mencecah sekitar 5%, digabungkan dengan kemungkinan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 3% akan mewujudkan persekitaran yang menggalakkan bagi pasaran hartanah.
Harga Rumah Di Malaysia Mahal Buatkan Rakyat Sukar Dapatkan Rumah Pertama
Semua pihak termasuk kerajaan sepatutnya menerima realiti bahawa rakyat Malaysia hampir sebahagiannya tidak mampu untuk membeli rumah pertama.
PropertyGuru Malaysia dalam Kajian Sentimen Pengguna Separuh Pertama 2023 mendedahkan separuh responden yang ditemuinya hanya mempunyai bajet kurang RM350,000 untuk membeli hartanah.
Isu ketidakmampuan dalam kalangan rakyat Malaysia yang ingin membeli rumah berkemungkinan besar akan menjadi trend berterusan kerana jurang pendapatan dan harga rumah terus melebar di Malaysia.
Jika ada pun peningkatan jumlah gaji minimum seperti yang diumumkan oleh kerajaan, ia masih belum cukup untuk membantu mereka menyimpan bagi memiliki rumah pertama kerana berkemungkinan besar kenaikan kos sara hidup juga terpaksa dihadapi oleh mereka.
Kerajaan sepatutnya mengambil langkah dengan mewujudkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bagi membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.
Cadangan ini pernah diajukan oleh pemaju hartanah, Mah Sing Group Bhd dengan memperkenalkan insentif pengecualian duti setem 100% hartanah berharga daripada RM300,001 hingga RM1 juta dan diskaun 10% untuk pembelian hartanah bagi pembeli rumah kali pertama.
Cadangan ini dilihat lebih baik jika ingin dibandingkan dengan cadangan kerajaan untuk memanjangkan lagi tempoh memanjangkan tempoh pinjaman perumahan yang hanya menguntungkan kapitalis sahaja.