Rata-rata tinjauan yang dibuat oleh Gelombang BERJASA di media sosial memperlihatkan begitu banyak luahan daripada peniaga dan pembeli mengenai harga barang yang mahal di bazar Ramadan. Di satu sisi peniaga bazar Ramadan menerangkan terpaksa menaikkan harga jualan dan di sisi pembeli pula majoritinya mengeluh mengenai harga makanan yang makin mahal.
Dalam laporan Berita Harian, peniaga terpaksa menaikkan harga dalam lingkungan RM1 atau RM2 susulan kenaikan kos bahan mentah. Dalam tinjauan yang sama juga, antara menu yang terkesan dengan kenaikan kos bahan mentah ialah bubur lambuk dan murtabak.
Kenaikan harga untuk dua menu ini dilihat ada rasionalnya setelah peniaga masing-masing mengadu bahawa terdapat kenaikan kos yang tinggi untuk bekalan bawang mentah. Ada peniaga yang mengadu harga bawang besar sudah naik daripada RM20 kepada lebih RM30 untuk setiap kilogram.
Pembeli pula yang merupakan pengunjung bazar Ramadan mengakui terkesan dengan kenaikan harga makanan di bazar walaupun telah sedaya upaya untuk berjimat-cermat. Mereka berkata adalah lebih berbaloi untuk berbuka puasa di surau ataupun masjid.
Mereka mengharapkan agar kerajaan dapat menyemak kembali tangga gaji rakyat Malaysia yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup saban tahun. Hingga kini pihak Gelombang BERJASA tidak lihat ada benarnya kenyataan daripada seorang menteri yang mengatakan harga makanan di bazar Ramadan tidak akan naik.