SHAH ALAM – Resolusi pengkhianatan kepada rakyat Palestin yang diterajui oleh Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken telah menjelaskan secara nyata pendirian AS sebagai sekutu rapat kerajaan haram Israel. Selain pendirian konsisten AS dalam menyokong penjajahan pihak Zionis ke atas Palestin, sokongan fizikal seperti dana dan ketenteraan terus berjalan dengan alasan untuk melindungi negara haram Israel daripada “ancaman” pejuang Palestin merujuk kepada HAMAS.
Dr. Fadhilah Ashari selaku Ketua Wanita BERJASA berkata ini merupakan satu tindakan yang hipokrit daripada AS yang kononnya amat memperjuangkan isu kemanusiaan dunia. AS dikenali sebagai sebuah negara yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan mengiktiraf hak asasi manusia di pentas antarabangsa. Namun, AS hanya bersikap acuh tidak acuh apabila melibatkan konflik di negara-negara Islam terutamanya di Palestin.
“Peristiwa yang berlaku di Gaza ini seharusnya membuka mata masyarakat antarabangsa bahawa AS tidak pernah meletakkan agenda keadilan dan kesaksamaan hak kehidupan untuk umat manusia seluruhnya”.
“Bahkan perbincangan Blinken untuk memberikan kuasa kepada pihak berkuasa Palestin dibawah pimpinan Mahmoud Abas untuk menguruskan Gaza setelah mengalahkan HAMAS menunjukkan bahawa AS hanya menginginkan pemimpin-pemimpin boneka yang boleh tunduk kepada mereka”.
“Kenyataan dari lawatan Blinken itu membuka mata semua bahawa AS tidak pernah menghormati kedaulatan mana-mana negara sedangkan HAMAS adalah kerajaan sah yang telah dipilih oleh rakyat Gaza. Dalam usaha untuk mendapatkan sokongan dunia, HAMAS perlu dinampakkan oleh AS sebagai pengganas sedangkan realitinya AS dan Israel adalah pengganas sebenar yang telah membunuh lebih 10 ribu rakyat Palestin yang mana lebih 70% adalah wanita dan kanak-kanak”, tegas beliau.
Tambah beliau, Palestin hakikatnya adalah sebuah negara yang merdeka sedangkan semua negara dan pemimpin negara Islam adalah terjajah dengan ketaatan serta ketundukan kepada kuasa besar dunia terutamanya kepada AS.