BANGI – Bulan Ramadan tidak meriah jika tidak disekalikan dengan memakan buah kurma. Selain daripada tuntutan sunnah, ia juga amat baik untuk kesihatan. Namun demikian, pembelian kurma di pasaran perlu dibuat secara berhati-hati setelah terdapatnya produk kurma yang diimport daripada Israel.
Produk-produk kurma yang diimport daripada negara haram itu dan dibawa ke Malaysia ini dapat merencatkan sentimen boikot barangan yang mempunyai perkaitan dengan negara Zionis itu jika tidak dibuat secara berhati-hati. Setelah membuat semakan di internet, kurma medjool yang asalnya ditanam di Palestin sering menimbulkan kekeliruan kepada pembeli.
Hal ini demikian kerana terdapart kurma medjool yang dieksport oleh Israel hasil daripada ladang kurma yang dibina di atas tanah rampasan milik rakyat Palestin menurut sumber daripada TRT World. Israel juga merupakan negara di kedudukan pertama sebagai pengeksport terbesar kurma dengan nilai dagang sebanyak US$330.09 juta yang disusuli dengan Tunisia sebanyak US$273.05 juta dan Emiriah Arab Bersatu sebanyak US$205.47 juta.
Bukan setakat menanam kurma di atas tanah yang dicuri malahan syarikat pengeluar kurma daripada Israel ini juga menggunakan tenaga buruh yang terdiri daripada rakyat Palestin yang dilayan secara tidak berperikemanusiaan. Kalau ada pun peladang warga Palestin yang mengusahakan ladang kurma, mereka tidak mampu bersaing dengan kurma milik peladang Israel yang membanjiri pasaran tempatan di sana dan antarabangsa.
Sebagai panduan untuk tidak membeli kurma daripada Israel, elakkan membelim kurma yang berjenama Asda Medjoul, Anna and Shara, Bomaja, Bonbonierra, Carmel Agrexco, Delilah, Desert Diamond, Fancy Medjoul, Food to Live. Hadiklaim, Jordan Plains, Jordan River, Kalahari, Karsten Farms, King Solomon, La Palma, M & S, Mehadrin, Morissons, Nava Fresh, Paradise Dates, Prana Biologique, Premium Medjoul, Rapunzel, Red Sea, Royal Treassures, Sainsbury, Sadat, Shams, Shah Co, Sincerely Nuts, Star Dates, Tamara Bar, Urban Platter, dan Waitrose.
Pastikan anda membeli kurma medjool asli daripada Palestin melalui jenama Al Madina Dates, Alnakhala, Atmarco, Barakat Foods, Bateel, Cali Medjool, Coachella’s Best, Dakahlia, Natural Delights, Yaffa, Joolies, Royal Delight, Royal Palm, Payitahit, Pure Palm, Sahara Gold, Sed Oasis, dan SN DA.