Malaysia sekali lagi menyatakan komitmen untuk menyertai BRICS dan mendakwa negara anggota BRICS iaitu Brazil menyokong penuh perancangan Malaysia untuk menyertai pakatan itu.
Sokongan itu dinyatakan oleh Brazil melalui Menteri Luar Negeri Brazil, Mauro Vieira ketika kunjungan hormatnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana.
Bukan itu sahaja malahan India juga menyokong hasrat Malaysia untuk menyertai gagasan ekonomi BRUCS susulan lawatan Perdana Menteri ke negara itu.
Ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai peluang yang terbuka untuk menyertai BRICS setelah mendapat lampu hijau daripada dua negara anggota tersebut.
Apakah Manfaat Yang Bakal Diperoleh Oleh Malaysia Jika Sertai BRICS?
Keputusan Malaysia ingin menyertai BRICS dilihat mempunyai pelbagai kelebihan terutamanya dalam aspek politik, ekonomi, pembangunan dan budaya.
Antara manfaat yang berpotensi diperoleh oleh Malaysia dalam politik ialah pengukuhan posisi Malaysia di dalam pakatan dapat membolehkan Malaysia untuk mengimbangkan kuasa terhadap pengaruh Barat terutamanya di rantau Asia Tenggara.
Penyertaan Malaysia dalam pakatan ini boleh membantu negara ini mengekalkan keseimbangan (balance of power) dalam dasar luar negerinya, dengan menjalin hubungan yang lebih erat dengan negara-negara berkuasa dari pelbagai benua, termasuk Asia, Afrika, dan Amerika Latin.
Menyertai BRICS akan membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada Malaysia dalam kalangan negara anggota, terutamanya dalam sektor eksport dan pelaburan.
BRICS mempunyai pasaran yang besar dengan populasi yang signifikan, yang dapat membantu Malaysia mengembangkan eksportnya.
Selain itu, Malaysia juga boleh mendapat manfaat pembangunan yang besar dengan peluang pekerjaan baru dalam sektor-sektor seperti teknologi, pendidikan, dan perkhidmatan, dengan kemungkinan peningkatan dalam pelaburan langsung asing (FDI).
Hal ini dalam masa yang sama juga boleh menggalakkan pertukaran budaya dan pendidikan antara Malaysia dan negara anggota lain, yang boleh memperkaya budaya dan meningkatkan kefahaman antara bangsa.
BRICS Juga Boleh Datangkan Masalah Dan Cabaran
Penyertaan Malaysia dalam pakatan ini boleh membawa banyak peluang tetapi juga memerlukan pengurusan dan strategi yang teliti untuk memastikan kepentingan nasional dilindungi dan dimanfaatkan sebaik mungkin.
Malaysia mungkin menghadapi risiko dari segi ekonomi jika terdapat ketegangan atau konflik dalam kalangan negara anggota atau antara BRICS dan kuasa Barat, yang boleh memberi kesan kepada kestabilan ekonomi global.
Penyertaan di dalam BRICS juga berisiko menyebabkan Malaysia lebih terdedah kepada pengaruh geopolitik dan ekonomi dari negara-negara besar seperti China dan Rusia, yang mungkin tidak selaras dengan kepentingan nasional Malaysia dalam jangka panjang.
Hal ini ditambah lagi dengan Amerika Syarikat (AS) yang mungkin akan meningkatkan tekanan terhadap Malaysia yang melihat penyertaan Malaysia ke dalam pakatan ini sebagai pro-China dan pro-Rusia.
AS akan khuatir Malaysia condong kepada seterunya memandangkan Malaysia dan China berkongsi kepentingan bersama di rantau Laut China Selatan dan ini menyebabkan AS seakan kehilangan pengaruh serta sokongan di rantau tersebut.
Oleh hal yang demikian, Malaysia perlu bertindak bijak dengan memainkan peranan penting dalam soal keseimbangan kuasa di rantau ini.
BRICS memang menawarkan manfaat yang banyak kepada Malaysia terutamanya dalam bidang ekonomi namun kehangatan perseteruan antara AS dan China perlu dimainkan secara bijaksana agar suhu perseteruan politik di antara dua kuasa besar ini tidak terlalu tinggi dan hangat.