Pasdec Holdings Bhd (Pasdec) jual tanah di Gebeng, Pahang sebanyak RM73.4 juta seluas 23.96 hektar kepada syarikat dari China yang dikenali sebagai Petroluxe Refinery (M) Sdn Bhd (Petroluxe).
Penjualan tanah yang dilakukan antara Pasdec dengan Petroluxe itu dibuat menerusi perjanjian jual beli tanah industri yang berlangsung di Kuantan.
Tanah yang dijual itu akan dibangunkan oleh Petroluxe sebagai kompleks bersepadu loji penapisan minyak dan petrokimia yang akan menghasilkan produk seperti nafta petroleum, petrol dan gas petroleum cair apabila beroperasi kelak.
Pengerusi Pasdec, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim (B) berkata pembelian tanah oleh syarikat China itu akan menjanjikan pelaburan sebanyak RM3 bilion bagi membina kompleks di atas tanah itu.
Selain Pasdec, Tropicana Juga Jual Tanah Di Johor Kepada Firma Beijing
Selain Pasdec, syarikat Tropicana Firstwide Sdn Bhd (TFSB) iaitu anak syarikat milik penuh Tropicana Corporation Bhd telah menjual tanah seluas 15.59 hektar kepada Computility Technology (Malaysia) Sdn Bhd (CTMSB) dengan nilai sebanyak RM240 juta.
CTMSB dimiliki sepenuhnya oleh syarikat China iaitu ZData Cloud Technology Pte Ltd yang merupakan syarikat rangkaian awam dan perkhidmatan infrastruktur IT yang berpangkalan di Beijing.
Penjualan tanah di Gelang Patah, Johor itu dikatakan bagi menubuhkan hab pusat data serantaunya di Johor.
Penjualan tanah di Johor dan Pahang bagi membangunkan pangkalan untuk dua industri berbeza iaitu data dan petrokimia jelas menunjukkan cengkaman yang kuat oleh China terhadap pengaruh ekonomi di Malaysia.
China semakin berusaha meluaskan pengaruh ekonominya di Malaysia melalui projek East Coast Railway Link (ERL) di Pantai Timur dan High Speed Rail (HSR) yang menghubungkan Singapura dan Malaysia.
Maka hal ini boleh dikatakan bahawa China sudah memasuki setiap segmen ekonomi yang ada di Malaysia dengan nilai pelaburan yang begitu besar.
Persoalan yang boleh ditimbulkan di sini ialah selepas ini apakah lagi yang akan dijual kepada China atas alasan ekonomi.
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) dahulunya jaguh dalam membangkang setiap projek yang melibatkan syarikat China kini terus berdiam diri apabila telah menjadi kerajaan.