Putrajaya – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) syarikat penerbangan MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) berkuatkuasa hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, penggantungan sijil pengendali operasi udara itu dibuat di bawah Peraturan 193(3), Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 selama 90 hari sementara menunggu siasatan lanjut.
“Sebagai badan kawal selia teknikal bagi industri penerbangan di Malaysia, CAAM bertanggungjawab mengawasi segala aspek teknikal pengoperasian udara bagi memastikan semua piawaian keselamatan dan sekuriti dipatuhi.
“CAAM mengeluarkan AOC bagi memberi kelulusan kepada pengendali operasi udara untuk terlibat dalam pengoperasian pesawat tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Jelasnya, antara aspek utama dinilai untuk pemberian dan pembaharuan AOC adalah kemampuan pihak pengendali operasi udara menjalankan pengoperasian selamat dan selaras peruntukan spesifikasi operasi.
“CAAM menjalankan audit keselamatan terperinci untuk menilai keupayaan dan kecekapan pengendali operasi udara dalam bidang pengangkutan udara komersial, operasi dan airworthiness.
“Audit keselamatan telah dijalankan ke atas MYAirline dari 29 Mei 2023 hingga 1 Jun 2023 bagi pembaharuan AOC dan pada masa itu, tiada penemuan menunjukkan terdapat masalah kewangan,” katanya.
Menurut Kapten Norazman lagi, elemen senarai semak penunjuk kewangan seperti dalam Dokumen 8335 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) juga dimasukkan dalam proses audit keselamatan.
“Sebagai sebahagian daripada proses audit keselamatan, pemegang AOC perlu menyediakan bukti kemampuan kewangan kepada CAAM.
“Ini bagi memastikan pengendali operasi udara mempunyai sumber kewangan untuk menjalankan operasi yang dirancang.
“Sekiranya timbul isu kewangan, pemberitahuan bertulis perlu diberikan segera kepada CAAM bagi memastikan tiada sebarang kompromi terhadap keselamatan operasi,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, sehingga ke hari ini, MYAirline tidak menghantar sebarang notis pemberitahuan kepada CAAM seperti yang dinyatakan.
“Penggantungan sementara operasi MYAirline pada 12 Oktober 2023 tanpa pemakluman awal kepada CAAM telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan awam dan integriti keseluruhan operasi penerbangan awam di Malaysia.
“Audit keselamatan terperinci akan dijalankan ke atas MYAirline semasa penggantungan sementara ini untuk menilai semula keupayaan syarikat penerbangan itu,” ujarnya.
Katanya, sebarang pelanggaran peraturan oleh pemegang AOC akan diuruskan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CAD).
“Jadi, CAAM mengingatkan semua pemegang lesen untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan di samping memastikan pematuhan yang ketat,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE