Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil memohon maaf selepas satu lagi kes paparan Jalur Gemilang yang salah tular di media sosial — kali ini dalam bahan pembelajaran yang dikongsikan secara rasmi oleh kementerian sendiri.
Silap bendera bukan perkara kecil. Ia adalah simbol penghinaan terhadap kedaulatan negara, maruah Perlembagaan, dan jati diri rakyat Malaysia. Lebih membimbangkan, insiden ini bukan kali pertama — malah telah berlaku berkali-kali, termasuk di platform media, buku teks, bahan pendidikan, dan papan iklan.
Ironinya, jika kesilapan ini dilakukan oleh rakyat biasa atau pelajar, tindakan tegas akan segera diambil. Namun apabila ia melibatkan kementerian sendiri, permohonan maaf dijadikan penutup. Di mana tahap kawalan kualiti dan patriotisme sebenar penjawat awam yang diamanahkan untuk mendidik generasi muda?
Jalur Gemilang bukan sekadar bendera. Ia adalah manifestasi negara merdeka. Jika pihak kementerian pun tidak peka terhadap imej negara sendiri, bagaimana kita mahu mendidik anak bangsa mencintai tanah air?
Kesilapan demi kesilapan ini perlu dihentikan. Bukan dengan hanya memohon maaf, tetapi dengan membina semula kesedaran nasional dan menanam nilai kedaulatan dalam semua peringkat pentadbiran. Jangan sampai bendera sendiri pun kita gagal hormati — kerana itu tanda negara ini sedang hilang arah.