Rundingan antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) mengenai hak jual beli gas asli di Sarawak telah mencapai kesepakatan antara kedua belah pihak setelah banyak siri rundingan dilakukan.
PETROS dalam hasil keputusan rundingan itu akan mendapat hak untuk mengambil alih jual beli gas asli di Sarawak namun rundingan tersebut masih belum muktamad apabila melibatkan soal undang-undang.
Ia melibatkan penalaan halus yang menurut portal Dagang News ia sebagai mekanisme perkongsian halus yang akan menentukan siapa yang mendapat bahagian pai, rangka kerja operasi yang mentakrifkan semula bagaimana PETROS dan PETRONAS wujud bersama.
Dalam soal perundangan, ia melibatkan usaha penyelarasan undang-undang untuk memastikan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Minyak Sarawak Ordinan Perlombongan 1958.
PETRONAS Rugi RM20 Bilion Setahun Setelah PETROS Ambil Alih Gas Asli Di Sarawak
Kejayaan PETROS mendapat hak jual beli gas asli di Sarawak dilihat bukan sahaja satu kemenangan kepada kerajaan negeri Sarawak yang menggunakan peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk menuntut hak menguruskan gas asli di Sarawak.
Kerajaan persekutuan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tidak akan rugi apa-apa memandangkan beliau sebagai seorang ahli politik pastinya memerlukan sokongan yang tinggi di Sarawak untuk terus berkuasa di Putrajaya.
Sabah dan Sarawak juga selama ini memang cukup sinonim sebagai tempat rizab untuk mana-mana parti yang ingin menguasai Putrajaya mendapatkan sokongan.
Apabila tuntutan Sarawak ini dipenuhi maka sudah pasti Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapat undi yang cukup tinggi untuk partinya di Sarawak nanti.
Namun demikian, PETRONAS yang merupakan syarikat korporat kebanggaan rakyat Malaysia akan berhadapan dengan kerugian besar kerana dijangka kehilangan hasil RM20 bilion setahun setelah ia diambil alih oleh PETROS.
Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sepatutnya sedar bahawa kerugian yang dialami oleh PETRONAS juga bermaksud kerugian kepada tabungan kerajaan persekutuan.
Kerajaan persekutuan sebelum ini memang bergantung kepada PETRONAS untuk mengutip wang dividen.
Lembaga Pengarah PETRONAS telah meluluskan pembayaran dividen kepada kerajaan sebanyak RM32 bilion untuk 2024 manakala pada 2023 PETRONAS membayar dividen sebanyak RM40 bilion kepada kerajaan.
Mungkin dividen yang akan dibayar oleh syarikat minyak dan gas nasional ini akan berkurang jumlahnya setelah kehilangan hasil gas asli yang besar di Sarawak.
PETRONAS pasti akan berhadapan dengan cabaran untuk memulihkan imejnya kerana gagal mengekalkan kawalan ke atas operasinya yang meluas namun ia menjadi satu peluang untuk syarikat ini menguruskan secara bijak tentang peralihan ini.
Kerajaan pula perlu menstrukturkan kembali ekonominya setelah berlakunya keadaan sebegini dengan mungkin tidak perlu terlalu mengharapkan bayaran dividen daripada PETRONAS lagi.
Kerajaan perlu bersikap kreatif untuk mencari hasil pendapatan negara dengan tidak terlalu menekan PETRONAS bagi mendapatkan bayaran dividen.