Tarikh 17 Disember 2024 yang jatuh pada hari semalam telah menandakan genap enam tahun kes arwah Adib berlaku.
Allahyarham Muhammad Adib merupakan seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang terkorban akibat diserang dan dipukul hingga parah dalam kejadian pergaduhan di kuil Sri Maha Mariamman.
Pasukan bomba yang disertai oleh Allahyarham Muhammad Adib diarahkan untuk turun bagi memadam kebakaran beberapa buah kenderaan yang terjadi berpunca daripada pergaduhan dua buah kumpulan berhubung isu pemindahan tapak kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya pada 26 November 2018.
Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa Allahyarham parah akibat kemalangan jalan raya namun kesan kecederaan yang dikesan tidak menunjukkan ia berlaku atas sebab kemalangan seperti yang didakwa oleh pihak kuil.
Kes Arwah Adib Adalah Kes Pembunuhan Secara Sengaja
Dapatan yang dibuat oleh Mahkamah Koroner berbeza dengan kenyataan pihak kuil apabila pihak mahkamah mengatakan bahawa Allahyarham dipukul oleh sekumpulan individu berketurunan India yang tidak dikenali ketika berada di dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Hakim Koroner, Rofiah Mohamad berkata saksi kelapan kejadian iaitu S Suresh dalam keterangannya dalam mahkamah mendakwa beliau melihat aksi-aksi dan gerakan seperti memukul, menendang dan memijak seseorang oleh sekumpulan 20-30 lelaki mengerumuni sesuatu menjadi subjek kelakuan itu.
S Suresh juga mendakwa beliau ditolak hingga jatuh ke arah Allahyarham dalam posisi depan ketika cuba mendekati kejadian itu dan beliau sendiri merasai satu sepakan yang hinggap pada bahu kanannya.
Dalam kerumunan tersebut S Suresh mendengar perkataan “Jangan pukul” dan “Bomba pun nak pukul ke?” yang dituturkan dalam bahasa Tamil.
Hal ini jelas memberikan petunjuk bahawa memang ada perbuatan secara sengaja dalam memukul Allahyarham dengan dikuatkan lagi dengan ayat “Bomba pun nak pukul ke?” dalam bahasa Tamil dan pelakunya adalah orang India.
Jika masih ada pihak yang ingin membela pelaku dengan mengatakan ketiadaan kesan lebam ataupun kecederaan yang konsisten dengan kecederaan dupukul ketika melakukan bedah siasat, dakwaan itu tidak boleh djadikan faktor penentu yang konklusif untuk mengatakan insiden pukulan itu tidak berlaku.
Semua Ahli Politik Melayu Islam Masih Senyap Membisu & Bersikap Bacul
Hingga kini tiada langsung pemakluman terkini mengenai kes Allahyarham yang kononnya ingin diperjuangkan oleh golongan tertentu terutamanya ahli politik untuk mencari pembelaan terhadap kematian Allahyarham.
Kerajaan sebelum ini di bawah pentadbiran mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya membayar pampasan berjumlah RM1.5 juta kepada keluarga Allahyarham pada 29 November 2021 namun sejujurnya bayaran itu tidak mampu menutup kesedihan mereka yang kehilangan anggota keluarga tercinta.
Memang benar keluarga Allahyarham telah menarik semula rayuan berhubung permohonan mengkomitkan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas atas tuduhan menghina mahkamah namun ini tidak bererti bahawa usaha mencari pembunuh Allahyarham tidak boleh diteruskan oleh polis.
Hal ini kerana siasatan jenayah tiada had masa di sisi undang-undang dan pembelaan terhadap kematian Allahyarham yang mati dibunuh boleh diteruskan oleh mana-mana masyarakat sivil, orang awam serta badan-badan bukan kerajaan.
Ahli politik yang prihatin terhadap hak Melayu dan Islam sepatutnya mengambil peluang ini untuk terus memperjuangkan kes Allahyarham ini.
Perjuangan ini tidak perlu diambil kira sama ada anda pembangkang mahupun kerajaan kerana isu ini melibatkan nasib anggota pihak berkuasa yang dibunuh secara kejam ketika sedang menjalankan tugas demi keamanan negara.