Perdana Menteri Anwar Ibrahim tegaskan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura hanya boleh diteruskan semula sekiranya terdapat penyertaan sepenuhnya daripada sektor swasta.
Buat masa ini beliau tegaskan Projek HSR ini ditangguhkan buat sementara waktu bagi memfokuskan kepada isu lain seperti membasmi kemiskinan, tebatan banjir dan pendidikan sekurang-kurangnya bagi tempoh satu atau dua tahun lagi.
Beliau juga tegaskan kerajaan berhasrat mempelawa penyertaan sektor swasta dengan memastikan penglibatan kerajaan di dalam projek ini adalah minimum kerana peruntukan perbelanjaan kerajaan agak terhad.
Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dalam lawatan rasmi beliau selama dua hari ke Malaysia pula menzahirkan keterbukaan bagi mewakili pihak Singapura jika projek ini dapat kembali diteruskan.
Tiket Untuk Penumpang HSR Mungkin Akan Menjadi Mahal
Kenyataan Anwar Ibrahim mengenai Projek HSR ini mungkin membawa maksud bahawa projek ini akan diswastakan dan memberi kesan kepada harga tiket.
Jika projek ini memang benar akan dibiayai oleh syarikat swasta sepenuhnya atau sebahagian besarnya, mereka mungkin perlu mengenakan harga tiket yang lebih tinggi untuk memastikan pulangan pelaburan ataupun dipanggil sebagai “return of investment” (ROI).
Bukan itu sahaja malahan kos pembinaan dan penyelenggaraan yang tinggi mungkin akan menyebabkan harga tiket naik untuk menampung kos tersebut.
Namun demikian, syarikat swasta biasanya lebih memfokuskan kepada keberkesanan operasi dan inovasi.
Maka jika mereka berjaya meningkatkan kecekapan, kos operasi boleh menurun dan ini boleh membantu mengekalkan harga tiket yang berpatutan.
Walaupun berkemungkinan besar wujudnya kenaikan harga tiket, amat diharapkan kerajaan dalam melakukan klausa dalam perjanjian konsensi untuk mengehadkan kadar kenaikan.
Menjadi satu kerugian jika projek ini hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sahaja dan meminggirkan satu lagi kumpulan lain yang tidak mampu untuk menggunakan perkhidmatan ini.
Projek ini sebenarnya wajar diteruskan kerana dapat memberikan kelebihan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk berulang-alik ke tempat kerja daripada Malaysia.
Demi kesejahteraan rakyat Malaysia, diharapkan kerajaan dapat melihat isu ini secara terperinci.