Topik berkenaan gaji minimum sentiasa menjadi dilema di Malaysia tidak kira di peringkat kerajaan mahupun rakyat.
Dilema gaji minimum juga merupakan isu dua muka bagi syiling yang sama dan ia berlaku di semua negara di dunia ini.
Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Lukman Hakim melihat tindakan kerajaan untuk menaikkan gaji minimum adalah perlu bagi menaikkan taraf hidup rakyat bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup yang disebabkan oleh inflasi.
Bukan itu sahaja malahan ia juga merupakan satu tindakan popular bagi mengeluarkan segelintir golongan masyarakat daripada zon kemiskinan.
Namun dalam masa yang sama impak negatifnya juga jelas apabila syarikat kebiasaannya akan menaikkan harga barang dan perkhidmatan bagi menampung kos operasi iaitu gaji pekerja.
Lebih menyedihkan apabila syarikat terpaksa membuang pekerja kerana tidak mampu menyediakan bajet secukupnya untuk ketetapan gaji minimum dan akan mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran di peringkat nasional.
Hal ini tidak ditambah lagi dengan masalah lain iaitu berkemungkinan besar pekerja yang berkemahiran lebih tinggi (overqualified) terpaksa bekerja dalam posisi gaji minima dan menyebabkan para graduan atau anak muda yang baru memasuki alam pekerjaan susah untuk mendapatkan pekerjaan.
Isu Gaji Minimum Sukar Untuk Mendapat Solusi Yang Kukuh
Solusi dengan menaikkan gaji minimum yang disertai dengan bersama kenaikan harga barang tidak akan mengurangkan beban golongan B40 dan M40.
Sebenarnya semua perkara asas ini sudah tentu diketahui oleh para pembuat dasar polisi dan pakar ekonomi yang membantu Perdana Menteri dalam merangka Belanjawan 2025.
Namun begitu tidak kurang untuk mengatakan bahawa solusi ini adalah solusi yang separuh masak kerana ia tidak menyelesaikan masalah kos sara hidup secara keseluruhan pun.
Adakah kita perlu meniru cara negara Eropah lain seperti Sweden, Iceland, Denmark, Norway dan Switzerland yang tidak menetapkan gaji minimum kebangsaan dan membiarkan ‘kuasa pasaran’ menentukannya dengan lebih baik?
Ataupun kita perlu menilai perlaksanaan model Amerika Syarikat (AS) yang menetapkan gaji minimum mengikut negeri?
Mungkin kita tidak perlu melihat terlalu jauh dengan mengkaji Model Gaji Progresif yang dilaksanakan oleh negara jiran Singapura.
Model ini menetapkan gaji minimum yang anjal dan berbeza mengikut industri serta kepentingan sesuatu fungsi kerja terhadap ekonomi negara.
Kerajaan, pemain industri dan kesatuan kerja juga mempunyai medan meja bulat untuk berbincang secara berterusan akan kejayaan perlaksanaan model ini.
Sepatutnya semua pihak di dalam industri memainkan peranan yang aktif untuk mencari solusi secara bersama dalam isu ini bukannya sekadar mematuhi arahan daripada pihak kerajaan semata-mata.
Rundingan boleh dilakukan sehingga masing-masing menemui titik kebersamaan ataupun “win-win situation” untuk isu ini.
Kerajaan diharapkan boleh mengkaji semula dan meniliti semua model yang telah dilaksanakan di seluruh dunia.
Benar ketika ini tiada satu model yang terbaik kerana ia banyak bergantung kepada iklim, struktur dan dasar ekonomi sesebuah negara namun ia boleh diselesaikan jika kerajaan ada “political will” yang kuat untuk menyelesaikannya.