Kempen Visit Malaysia 2026 telah mula dilancarkan oleh kerajaan Malaysia sebagai bentuk promosi Malaysia untuk destinasi pelancongan terbaik kepada orang luar.
Majlis pelancaran Kempen Visit Malaysia 2026 ini telah berlangsung di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB) pada 6 Januari 2025 dengan menampilkan ‘Beruang Matahari’ sebagai ikon dan maskot bagi kempen ini.
Beruang Matahari dipilih sebagai maskot kerana ia merupakan spesies beruang terkecil di dunia dan merupakan spesies yang unik serta asli di kawasan tropika Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Ramai juga pihak memuji logok kempen Visit Malaysia 2026 ini yang melambangkan budaya berwarna-warni, keindahan semula jadi dan daya tarikan Malaysia kepada global.
Namun sayangnya video perlancaran kempen ini tidak menonjolkan identiti Melayu Islam sedangkan ia adalah identiti utama negara.
Identiti Melayu Islam Tidak Ditonjolkan Di Dalam Video Visit Malaysia 2026
Video pelancaran kempen Visit Malaysia 2026 yang berdurasi 42 saat itu tidak langsung memaparkan gambar masjid yang merupakan tempat ibadat orang Islam.
Sedangkan semua pihak termasuk rakyat Malaysia sedia maklum bahawa Islam merupakan agama Persekutuan Malaysia maka sepatutnya penonjolan terhadap identiti masjid itu perlu diutamakan.
Soal identiti nasional tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan imej utama yang akan dilihat oleh pihak luar daripada Malaysia.
Namun begitu, hal ini memang tidak menafikan mengenai kerencaman etnik dan budaya yang ada di Malaysia namun begitu ralat apabila tiada langsung budaya atau imej Melayu Islam di dalam video tersebut.
Malaysia sememangnya dikenali dengan slogan ‘Malaysia Truly Asia‘ bagi menunjukkan negara ini mempunyai pelbagai budaya yang menarik tetapi jangan dilupakan bahawa identiti nasional Malaysia berteraskan Melayu dan Islam.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan masih lagi keliru tentang apakah identiti nasional untuk Malaysia sedangkan negara ini sudah lama berteraskan Melayu dan Islam.
Jika kerajaan sendiri pun gagal memahami perkara yang besar ini, apatah lagi rakyat yang berada di bawahnya yang mungkin sebahagian besarnya langsung tidak mengambil cakna mengenai permasalahan ini.