KUALA LUMPUR – Cadangan yang dilontarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Azizi untuk mengambil graduan asing daripada institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bekerja sementara di negara ini mendapat kritikan daripada Isma Aiman, Ketua Pemuda BERJASA Gombak. Beliau berpendapat kenyataan yang dilontarkan oleh Tengku Zafrul seakan-akan menghina graduan tempatan yang beranggapan mereka tidak mahir ataupun tidak kompeten untuk dunia industri pekerjaan.
Cadangan Tengku Zafrul ini juga didorong oleh situasi semasa yang kononnya negara kita kekurangan graduan tempatan untuk dibekalkan kepada sektor tenaga mahir. Beliau berpendapat beliau perlu buktikan tuduhan itu dengan mengeluarkan nama syarikat yang memerlukan tenaga kerja tersebut. Kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam isu ini dengan berlaku jujur.
Bukan itu sahaja malahan merujuk kepada kenyataan Tengku Zafrul yang mengatakan kelulusan graduan tempatan perlu bersesuaian dengan bidang yang diperlukan pelabur, beliau menempelak kerajaan dengan menegaskan kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab memadankan kemahiran graduan tempatan dengan permintaan sektor industri.
“Kita lihat kerajaan banyak mengeluarkan biasiswa kepada pelajar dalam bidang IT dan kejuruteraan ke luar negara misalnya namun apabila kembali ke Malaysia, mereka tidak mendapat tempat dalam industri pekerjaan di Malaysia. Jadi di sini kita lihat tawaran peluang belajar tidak sepadan dengan trend permintaan pelabur di Malaysia”.
“Bukan itu sahaja malahan kadar gaji yang ditawarkan kepada ‘fresh graduates’ juga agak tidak bermaruah dan tidak sepadan. Maka tidak hairan kita lihat ramai lepasan graduan dalam bidang kritikal bekerja sebagai pemandu e-hailing yang menawarkan kadar upah yang lebih tinggi”, tegas beliau.
Tambah beliau lagi, syarat penguasaan bahasa asing seperti bahasa Mandarin kepada graduan yang mencari kerja perlu dihapuskan kerana ia dilihat sebagai ‘discriminatory practice’ oleh pihak majikan. Budaya ini perlu dihapuskan kerana tidak ramai graduan tempatan yang mempunyai asas kepada penguasaan bahasa tersebut.
“Saya faham soal kemahiran amat dititikberatkan oleh pihak majikan kepada pekerja mereka. Maka saya berpendapat pihak majikan perlu memberikan latihan industri kepada pelajar jika kemahiran yang diperlukan tiada daripada terus mencari tenaga kerja dari luar”.
“Apa salahnya melabur untuk anak tempatan kita daripada sibuk memfokuskan kepada tenaga kerja luar. Sekurang-kurangnya kita membantu anak tempatan untuk maju dalam kerjaya”, ulas beliau.