BANGI – Desas-desus situasi caca marba kerajaan perpaduan makin hangat diperkatakan setelah timbulnya dakwaan beberapa pimpinan MCA yang ingin meletakkan calon daripada parti mereka untuk bertanding di dalam PRK Kuala Kubu Baharu (KKB). Ini selepas Ketua Pemuda MCA Selangor, Tan Jie Sen membidas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana membuat pengumuman BN tidak akan bertanding di Kuala Kubu Baharu tanpa berunding dengan sekutunya.
Beliau berpendapat Ahmad Zahid sepatutnya berbincang dengan mereka dahulu selaku rakan sekutu sebelum membuat sebarang keputusan apatah lagi apabila melibatkan keputusan dalam PRK KKB ini. Beliau yang mewakili MCA berpendapat Ahmad Zahid amat angkuh dan sombong apabila apabila berani mengenepikan mereka dalam menentukan keputusan yang penting ini.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini pihaknya belum lagi berbincang bagi memuktamadkan calon bertanding pada PRK itu. Dalam pada itu, Bersih berpandangan peruntukan RM5.21 juta oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Kuala Kubu Bharu khususnya Nga Kor Ming telah melanggar etika pilihan raya.
Kerusi KKB kosong selepas kematian penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu. Sejak 2013, Lee, 58, yang menjadi Adun KKB mengekalkan kerusi itu untuk PH pada pilihan raya negeri tahun lepas. KKB juga pernah menjadi kubu MCA di Selangor sebelum DAP berjaya menerobos melalui Kee Hiong pada 2013.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 27 April ini sebagai hari penamaan calon manakala pengundian diadakan pada 11 Mei.
SUMBER – MalaysiaGazette