Adakah Demokrasi Di Malaysia Sudah Matang?

Ramai pemerhati politik melihat demokrasi di Malaysia sudah matang melihat kepada tempoh kemerdekaan selama 67 tahun yang dikecapi oleh Malaysia pada 31 Ogos nanti.

Dalam tempoh Malaysia menjalani tempoh pemerintahan demokrasi ini, boleh dikatakan Malaysia menjalani politik yang aman dan stabil tanpa sebarang gangguan yang kritikal seperti cubaan merampas kuasa mahupun konflik yang melibatkan senjata.

Namun ia tidaklah bermaksud demokrasi di Malaysia itu sempurna. Jika ada pun ia melibatkan limitasi kebebasan bersuara, penahanan lawan politik besar-besaran dan salah guna kuasa.

Ada juga dakwaan yang mengatakan pernah berlakunya kecurangan politik di dalam pilihan raya namun dakwaan itu tidak dapat dibuktikan dengan kukuh oleh pihak yang menuduh.

Persoalan yang ingin dijawab dalam artikel ini adalah adakah demokrasi di Malaysia sudah matang dan apakah indikator kepada kematangan itu.

Seeloknya terlebih dahulu kita mengenali dahulu tentang sejarah dan sistem ini dengan lebih terperinci lagi.

Sistem Demokrasi Di Malaysia

Dalam sistem demokrasi yang dipraktikkan di Malaysia, negara ini mengamalkan sistem berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang sudah diamalkan sejak merdeka lagi.

Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan di mana Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara namun peranannya adalah bersifat simbolik dan tertakluk kepada perlembagaan.

Yang di-Pertuan Agong dipilih setiap lima tahun oleh Majlis Raja-Raja dari kalangan sembilan Raja Melayu.

Dalam soal demokrasi sistem berparlimen di Malaysia, ia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang mirip kepada sistem Westminster di Britain.

Parlimen Malaysia terdiri daripada dua dewan iaitu Dewan Rakyat (House of Representative) yang mana Ahli Dewan Rakyat dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya umum setiap lima tahun dan Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi mankala Dewan Negara (Senate) yang terdiri daripada 70 ahli, di mana 26 daripadanya dipilih oleh Dewan Undangan Negeri, manakala selebihnya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Selain itu, Malaysia juga terdiri daripada tiga bidang kuasa yang dominan di dalam sistem demokrasi iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Eksekutif merujuk kepada kuasa eksekutif yang dipegang oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri (kabinet), yang bertanggungjawab kepada Parlimen. Perdana Menteri biasanya adalah ketua parti atau gabungan parti yang memenangi majoriti kerusi di Dewan Rakyat.

Parlimen Malaysia merujuk kepada legislatif iaitu mempunyai mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang dan mengawasi pelaksanaan kuasa eksekutif. Undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum berkuat kuasa.

Kehakiman pula merujuk kepada badan kehakiman Malaysia yang bebas dan bertanggungjawab untuk menafsirkan perlembagaan serta memastikan undang-undang dilaksanakan dengan adil. Sistem kehakiman terdiri daripada Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Tinggi.

Dalam sistem ini, pilihan raya umum diadakan setiap lima tahun yang mana rakyat Malaysia yang layak mengundi memilih wakil mereka di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

Pilihan raya ini dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang bertanggungjawab memastikan pilihan raya diadakan secara bebas dan adil.

Malaysia mempunyai sistem pelbagai parti, dengan Barisan Nasional (BN) mendominasi politik negara selama lebih dari enam dekad.

Namun, perubahan besar berlaku pada pilihan raya umum ke-14 pada tahun 2018, apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan, menamatkan dominasi BN.

Beberapa parti politik utama di Malaysia termasuk UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Democratic Action Party (DAP), dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Politik Malaysia sering dikaitkan dengan politik identiti, di mana parti-parti tertentu cenderung untuk mewakili kumpulan etnik tertentu.

Adakah Sistem Ini Sudah Matang?

Sebenarnya terlalu awal untuk mengatakan demokrasi di Malaysia sudah benar-benar matang walaupun telah mengamalkannya hampir 67 tahun.

Hujah yang mengatakan demokrasi di Malaysia sudah mencapai kematangan dilihat tidak tepat jika hanya bersandarkan kepada tempoh pengamalannya.

Hal ini demikian kerana Malaysia sebenarnya sudah lama diperintah oleh satu parti tunggal iaitu Barisan Nasional (BN) selama hampir 60 tahun bermula tahun penubuhannya pada 1973 hingga 2018.

Dalam artikel yang diterbitkan oleh The Diplomat bertajuk In Malaysia, a Win for Democracy mengatakan bahawa demokrasi yang diperintah oleh kerajaan Malaysia sebelum ini adalah palsu kerana banyak siri kekerasan dan tekanan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap pembangkang.

The Diplomat berpendapat demokrasi di Malaysia baharu sahaja bermula selepas tahun 2018 apabila parti Pakatan Harapan (PH) mula memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mengalahkan BN.

Dakwaan mengatakan demokrasi di Malaysia sebelum ini adalah palsu agak melampau namun ada benarnya jika dilihat sistem ini tidak diamalkan secara sepenuhnya maka ia menggambarkan seakan-akan ia tidak pernah wujud pun.

Kemenangan PH pada PRU-14 dan berlakunya peralihan kerajaan daripada blok parti Melayu kepada blok PH yang beridentitikan liberal pafa PRU-15 menandakan demokrasi di Malaysia sedang menuju kematangan.

Walaubagaimanapun, indikator untuk melihat demokrasi di Malaysia sudah matang tidak semestinya bergantung kepada proses peralihan kerajaan sahaja kerana ia juga perlu melihat kepada pengamalan “good governance” terutamanya dalam isu lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan dan sebagainya.

Namun begitu, ia tidak bermaksud ia sudah matang kerana proses kematangan itu baharu sahaja ingin berlaku bermula PRU-15 bukannya PRU-14 kerana berlakunya ‘rampasan kuasa’ melalui Langkah Sheraton.

Walaupun Malaysia telah mencapai banyak kemajuan dalam membentuk sistem demokrasi yang berfungsi, masih terdapat banyak cabaran yang perlu diatasi.

Sistem ini masih dalam proses kematangan, dengan usaha-usaha berterusan diperlukan untuk memperkukuh kebebasan sivil, integriti institusi, dan inklusiviti politik.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Restoran Ayamas, Jenama Makanan Malaysia Yang Semakin Dilupakan

Next Post

Wujud Rakyat Malaysia Yang Tidak Sokong Rakyat Palestin Tiba Di Malaysia

Related Posts