PULAU PINANG – Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada sebelas buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang membantah sekeras-kerasnya terhadap perlaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di satu kelas dalam sesi pembelajaran mereka. SMJK dan SMC ini menganggap ia bukan polisi utama yang ingin diterapkan oleh sekolah mereka.
Lembaga sekolah itu juga berkata, sekolah separuh kerajaan jenis Cina itu mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.
Oleh hal yang demikian, mereka sebulat suara menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mendengar bantahan, menghormati kehendak ibu bapa dan kembali menjalankan Program Dwibahasa (DLP) dalam Sains dan Matematik.
Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Chung Ling Pulau Pinang, Datuk Seri Koay Hean Eng yang mewakili 11 sekolah berkenaan berkata, surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri bertarikh 15 April sudah dihantar kepada pengetua 36 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) juga 52 SMJK dan SMK.
Beliau berkata, surat itu secara rasmi mengumumkan bahawa salah satu arahan kementerian adalah menguatkuasakan pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua SMJK mulai tahun ini.
Situasi ini menunjukkan masih terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang bersikap tidak patriotik dengan menolak sepenuhnya keluhuran Bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Malaysia. Mereka masih bersikap kepuakan dengan lebih mengutamakan bangsa dan kaum mereka sahaja.
Hal ini telah menimbulkan pertanyaan adakah kerajaan masih lagi dengan pendirian untuk menyokong perlaksanaan sekolah vernakular. Hal ini dapat dilihat melalui kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kerajaan mengambil pendirian untuk terus mengekalkan sekolah vernakular yang diiktiraf di bawah Akta Pendidikan.
Kenyataan ini senada dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan semua pihak supaya menghormati kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil, sambil menegaskan negara ini telah lama mengamalkan sistem persekolahan berkenaan.
Berbeza dengan pendirian Ketua Pemuda BERJASA, Mohd Azriq Rosman yang melihat sistem pendidikan vernakular ini masih gagal dalam membawa impak positif kepada perpaduan nasional negara kita. Beliau berkata sedemikian kerana berpendapat pendidikan sepatutnya berperanan sebagai ejen penyatuan kaum namun berlaku sebaliknya di Malaysia apabila pendidikan daripada awal lagi sudah diasingkan mengikut kaum.
Sebelum ini juga, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang telah mengeluarkan kenyatan yang dangkal dengan menyatakan kewujudan sekolah vernakular tidak lagi boleh dianggap sebagai pembuka ruang pemisah antara etnik sebaliknya perlu menjadi medan mengurus kerukunan sosial seperti dimainkan oleh peranan sekolah kebangsaan.
Dengan situasi dan isu yang berlaku sekarang, kenyataan beliau itu sepertinya tidak langsung menyembah kepada realiti yang berlaku.