Pindaan bagi Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 505) yang telah dibentangkan bacaan kali kedua di Dewan Rakyat dikatakan sebagai langkah penting untuk memodenkan sistem perundangan Islam di Malaysia namun timbul kegusaran ia berkemungkinan akan menjejaskaskan kuasa dan tugas mufti.
Kebimbangan ini disuarakan oleh bekas presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan Zainal Rijal Abu Bakar yang mendakwa, Bahagian III memperihalkan berkaitan dalam Fasal 10 tentang perlantikan mufti, timbalannya, Jawatankuasa Perundingan Syarak Fatwa dan lain-lain telah dipotong dalam pindaan terbaru.
Beliau berkata lagi bahawa peruntukan yang dipotong akan menyebabkan tiada lagi punca kuasa mufti disebakan oleh RUU Mufti Wilayah Persekutuan tidak dibentangkan sekali.
Tambah beliau, isu ini tidak akan timbul jika RUU Mufti Wilayah Persekutuan dibentangkan sekali namun hingga kini masih tiada perkhabaran RUU Mufti Wilayah Persekutuan ini akan dibentangkan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata kerajaan bercadang untuk meneruskan pembentangan RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sesi Parlimen bersekali dengan dua lagi RUU berkaitan hal ehwal Islam iaitu Akta 505 dan Akta Tatacara Hal Mahkamah Syariah (Akta 585).
Namun begitu, hanya Akta 505 dan Akta Tatacara Hal Mahkamah Syariah (Akta 585) sahaja yang dibentangkan dan diluluskan di dalam Dewan Rakyat.
Apa Itu Akta 505?
Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 505) ataupun lebih dikenali sebagai Akta 505 dipinda oleh kerajaan untuk memastikan pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang Islam lebih cekap dan relevan.
Antara cadangan pindaan ialah seseorang hakim atau pendaftar Mahkamah Syariah boleh menjalankan suatu prosiding bagi kes mal melalui teknologi komunikasi jarak jauh.
Walaubagaimanapun, ia perlu diambil kira wujudnya keadaan darurat atau hal keadaan kes itu asalkan perjalanan prosiding itu mematuhi undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Hal ini turut mengambil kira hukum syarak dan apa-apa arahan yang dibuat oleh pihak berkuasa dan penjalanan prosiding itu tidak menjejaskan keadilan, tidak membabitkan penyalahgunaan proses mahkamah dan tidak terdapat unsur keraguan, penipuan dan syak.
Selain itu, Ketua Hakim Syarie juga akan mendapat kuasa untuk mengeluarkan apa-apa arahan amalan sebagaimana yang perlu bagi maksud melaksanakan peruntukan Akta 505 atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang berhubungan dengan tatacara mal Mahkamah Syariah, tatacara jenayah Syariah, keluarga Islam dan keterangan Syariah.
Bagaimana Pula Dengan RUU Mufti Wilayah Persekutuan?
Pindaan yang melibatkan Akta 505 ini dilihat cukup baik untuk memperkasakan lagi undang-undang syariah di Malaysia namun sayangnya ia tidak disekalikan pembentangannya dengan RUU Mufti Wilayah Persekutuan.
Jika RUU Mufti Wilayah Persekutuan dibentangkan secara bersama dengan Akta 505, sudah pasti isu melibatkan tugas mufti tidak akan timbul.
Kerajaan sepatutnya meminda RUU Mufti Wilayah Persekutuan sehingga diluluskan, diwarta dan dilaksana terlebih dahulu baharu boleh bertindak mewartakan Fasal 10 bagi memastikan punca kuasa mufti Wilayah Persekutuan tidak terjejas.
Memang benar RUU ini mendapat tentangan pelbagai pihak daripada pihak yang berautoriti dalam jabatan agama Islam sehingga menyukarkan kerajaan untuk membawanya dipinda di Dewan Rakyat.
Maka kerajaan sepatutnya mencari alternatif terbaik untuk meyakinkan semua pihak berkepentingan mengenai RUU Mufti bagi menyelesaikan polemik yang tak berkesudahan ini seterunsya membolehkan RUU ini terus dibentangkan untuk dipinda di Dewan Rakyat.