Shah Alam – Kecoh pada petang semalam dalam kalangan warganet mengenai isu Skim Insuran Am Selangor yang didapati mendaftarkan secara automatik individu yang mengundi di Selangor tanpa pengetahuan mereka.
Ramai memetik mengenai ‘data breach‘ dan berasa pelik bagaimana kerajaan negeri Selangor boleh meletakkan nama dan nombor kad pengenalan mereka ke dalam insuran tersebut sedangkan mereka tidak pernah didedahkan langsung dengan skim insurans tersebut apatahlagi memohonnya. Entiti yang bertanggungjawab menguruskan skim insurans adalah Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd.
Walaupun ada laporan berita yang melaporkan bahawa Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd dikatakan sebagai sebuah syarikat di dalam Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor namun apabila diselidiki melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah didapati bahawa pemegang terbesar terbesar bukan milik MBI.
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan menjelaskan bahawa 51% saham di dalam Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd adalah milik CT CT Frank Technology Sdn Bhd, manakala 49% dimiliki oleh MBI. Hal ini telah menimbulkan persoalan mengapa pemilikan saham majoriti syarikat yang menguruskan skim insurans ini bukannya MBI selaku ‘tuan rumah’ kepada skim ini.
“Saya melihat isu ini amat besar kerana ia melibatkan keselamatan data pengguna yang diceroboh tanpa pengetahuan mereka. Ini memperlihatkan kerajaan negeri tidak memandang serius isu kebocoran data sehingga sanggup melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang tanpa segan silu”.
“Ramai juga yang mempersoalkan mengapa sebahagian daripada mereka tidak didaftarkan di dalam skim tersebut sedangkan mereka sudah lama menjadi pengundi di Selangor. Segala persoalan ini perlu dijawab oleh kerajaan negeri terutamanya Menteri Besar Selangor bagi menjelaskan apa yang sedang berlaku sekarang”, tegas beliau.
Tambah beliau lagi, perlaksanaan skim ini juga amat meragukan kerana didapati bahawa pendaftaran dibuat secara kelompok pada dua hari sebelum PRU-15.
“Jadi saya terfikir di sini bahawa daripada mana datangnya dana untuk melakukan skim ini dan siapakah pihak yang mendapat komisen di dalam projek ini. Ini melibatkan ketelusan kerajaan negeri apabila melibatkan dana dan duit yang besar maka ia tidak boleh disembunyikan oleh kerajaan negeri dengan begitu sahaja”, kata beliau.
Terdahulu telah tular di media sosial mengenai Skim Insurans Selangor yang telah ‘mendaftarkan’ penama ke skim tersebut secara automatik. Isu ini telahpun mendapat perhatian warganet yang mengambil berat tentang isu kebocoran data oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.