Dikala Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dan kerajaan sepakat untuk menurunkan harga beras putih import daripada RM3,000 per tan metrik kepada RM2,800 metrik per tan metrik seterusnya memulihkan kembali bekalan beras tempatan di pasaran, wujud bantahan terhadap cadangan ini.
Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) membantah cadangan ini kerana khuatir akan menyebabkan berlakunya lambakan beras tempatan di pasaran.
Pengerusinya, Abdul Rashid Yob, berkata keadaan itu juga akan menyebabkan pesawah mengalami kerugian kerana terpaksa menjual pada harga lebih rendah walaupun kos sebenar adalah tinggi.
Beliau mengakui penurunan harga beras putih import ini membawa kebaikan kepada pengguna namun pesawah, pengilang dan petani akan menanggung kerugian.
Misalnya, pesawah di Perak sudah mengalami kerugian apabila kilang menerima harga RM1,400 per tan berbanding sehari sebelumnya iaitu RM1,520 bagi setiap tan.
Tambah beliau lagi, penurunan harga jualan beras putih import itu juga dijangka akan menyebabkan stok beras tempatan sedia ada di gudang tidak dapat dijual.
Bukti Beras Tempatan Hilang ‘Disengajakan’ Berlaku?
Hal ini menunjukkan sebenarnya bekalan beras tempatan masih ada dan mungkin ‘sengaja’ disimpan untuk menaikkan harga di pasaran.
JIka benar dakwaan ini, hal ini seakan mengiakan memang benar ada berlakunya kartel beras di negara ini yang sengaja menyorok bekalan beras tempatan demi menaikkan harganya di pasaran pada masa yang sesuai.
Selain itu, beliau juga menggesa kerajaan untuk memperhalusi cadangan ini dengan melihat kepada masalah yang melanda pengusaha padi.
Beliau menuntut kerajaan untuk melihat harga belian padi, benih dan beras bagi melihat isu sebenar yang melanda sektor tanaman utama negara ini.
Beliau juga mencadangkan kerajaan mengapungkan harga beras mengikut harga semasa dan jika harga pasaran tinggi, harga di Malaysia juga akan tinggi dan begitu juga sebaliknya.
Maka ini mungkin menjawab kepada persoalan di manakah hilangnya bekalan beras tempatan di pasaran hingga sukar ditemui oleh rakyat yang ingin membelinya.
Hal ini berkemungkinan berlakunya bekalan beras tempatan ini disorok kerana pesawah tidak mahu memperoleh kerugian akibat harga benih yang terlalu mahal.
Dakwaan ini mungkin ada benarnya kerana terdapat keluhan pesawah yang mengatakan harga benih tidak diusik dan masih kekal sama sedangkan sepatutnya harga itu perlu diturunkan berdasarkan harga semasa.
Keadaan ini memerlukan kebijaksanaan kerajaan untuk memastikan pesawah dan pengguna iaitu pembeli beras mendapat manfaat secara bersama bagi memastikan industri beras di Malaysia dapat berjalan dengan lancar.