Krisis sekuriti makanan negara dilihat semakin membarah apabila sektor pertanian negara mencatatkan kerugian sebanyak RM16 juta akibat banjir yang melanda baru-baru ini.
Kerugian ini melibatkan kerosakan terhadap sektor pertanian negara seperti tanaman padi, sayuran dan perikanan.
Walaubagaimanapun, jumlah kerugian ini mungkin dijangka meningkat apabila bancian akhir dibuat selepas mendapat maklumat lengkap daripada semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Kerugian yang dicatatkan ini juga masih di dalam fasa awal kerana banjir yang berlaku di negeri-negeri yang terjejas ini baru melibatkan gelombang pertama dan dijangka gelombang kedua pula akan berlaku hingga akhir Disember ini.
Hal ini memberikan tamparan yang besar kepada kerajaan dikala Malaysia masih bergelut dengan isu sekuriti makanan yang begitu lemah.
Antara isu sekuriti makanan yang masih belum berjaya diselesaikan oleh kerajaan ialah isu kekurangan stok bekalan beras putih tempatan di pasaran dan bekalan telur ayam.
Kerajaan buat masa ini hanya lebih mengedepankan solusi mengimport sahaja bekalan ini yang menyebabkan harganya begitu mahal di pasaran.
Kerajaan Perlu Serius Cari Alternatif Pulihkan Sekuriti Makanan Negara
Kerugian yang dialami terhadap sektor pertanian negara ini sepatutnya menjadi kesedaran kepada kerajaan bahawa sekuriti makanan negara boleh lumpuh jika dibiarkan lemah begitu sahaja.
Kerajaan sepatutnya sudah mula serius untuk mencari penyelesaian kepada isu ini bagi membolehkan stok makanan tempatan sentiasa mencukupi untuk rakyat.
Langkah kerajaan dan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam menurunkan harga jualan beras putih import di pintu gudang Bernas di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 per tan metrik kepada RM2,800 tan per matrik berkuat kuasa semalam merupakan satu langkah yang baik untuk kesejahteraan rakyat.
Penurunan harga beras putih import ini juga dijangkakan akan memulihkan bekalan beras putih tempatan di pasaran kerana kadar harga jualan di pasaran kelak tidak akan jauh bezanya.
Namun begitu, kerajaan tetap perlu mengambil cakna dengan pemulihan bekalan beras putih tempatan ini kerana dikhuatiri berlakunya penipuan label paket beras di pasaran.
Hal ini kerana wujudnya sindiket yang mencampurkan beras putih tempatan dengan beras putih import seperti yang didakwa sebelum ini.
Kerajaan disarankan untuk menggerakkan Unit Penguat Kuasa dan Badan Penentuan Standard Kualiti Antarabangsa (SGS) bagi memastikan gred beras putih adalah sepenuhnya lima peratus hancur.
Bukan dalam soal bekalan beras sahaja malahan bekalan telur ayam perlu diselesaikana oleh kerajaan kerana kebergantungan kepada import akan merugikan negara dalam tempoh jangka masa panjang.
Kerajaan juga melalui KPKM boleh mengusulkan idea untuk melaksanakan langkah pencegahan banjir terharap ladang sayuran kerana banjir yang melanda negeri-negeri yang terjejas bukannya pertama kali berlaku malahan setiap tahun ia bakal terjadi ketika tibanya musim tengkujuh.