Isu mengapa harga rumah yang semakin mahal kini bukan sahaja banyak dilaporkan oleh portal berita malahan turut dibicarakan di bibir rakyat Malaysia.
Mereka seakan sudah lali dengan masalah ini kerana melihat langsung tiada jalan penyelesaian untuk memastikan mereka mampu memiliki sebuah rumah sekalipun. Akhirnya, ramai di kalangan rakyat Malaysia lebih memilih menyewa rumah hingga ke akhir hayat.
Kerajaan dilihat langsung tiada ‘political will‘ untuk menyelesaikan masalah ini dan tidak memikirkan apakah kesan kenaikan harga rumah kepada rakyat. Silih berganti kerajaan sekalipun masalah ini tidak tetap selesai.
Apakah Punca Harga Rumah Semakin Mahal?
Kenaikan harga rumah dilihat tiada kawalan dan sentiasa akan meningkat daripada tahun ke tahun.
Laporan terbaharu daripada Buletin TV3 melaporkan harga rumah di Lembah Klang dijangka meningkat 10 hingga ke 15 peratus tahun ini khususnya di pusat bandar Kuala Lumpur maka tidak hairan jika pada masa akan datang jumlah golongan miskin bandar akan terus meningkat.
Persoalannya, apakah punca yang menyebabkan harga rumah menjadi semakin mahal hingga mencengkam ekonomi rakyat Malaysia?
Antara punca harga rumah menjadi semakin mahal ialah kos pembinaan yang meningkat. Kos bahan binaan seperti simen, besi dan kayu serta upah pekerja sentiasa meningkat saban tahun di pasaran.
Pemaju hartanah akan menyerap kenaikan harga ini dan memindahkannya kepada pembeli yang akhirnya memaksa pembeli untuk membeli rumah dengan harga yang agak mahal.
Selain daripada itu, keadaan inflasi telah menyebabkan harga barang dan perkhidmatan meningkat termasuk harga rumah.
Walaupun kadar kenaikan gaji sentiasa meningkat ditambah pula dengan perancangan kerajaan untuk meningkatkan gaji progresif rakyat, namun inflasi tetap juga meningkat ditambah pula harga rumah mungkin meningkat pada kadar yang lebih tinggi.
Hal ini menyukarkan ramai orang untuk membeli rumah kerana di luar kemampuan mereka walaupun memperoleh kenaikan gaji setiap tahun.
Permintaan yang tinggi terhadap rumah yang dijual tetapi penawarannya terhad juga memainkan faktor kepada meningkatnya harga rumah.
Fenomena ini sudah pun berlaku di Malaysia apabila terdapat laporan berita yang melaporkan bahawa semakin ramai warga China ingin membeli rumah di Malaysia atas faktor kelembapan ekonomi China dan peningkatan harga hartanah global.
Ini menyebabkan persaingan yang tinggi dalam kalangan pembeli apatah lagi warga tempatan terpaksa bersaing dengan warga luar daripada China.
Permintaan untuk rumah sering melebihi penawaran terutamanya di kawasan bandar atau lokasi strategik maka ini akan meningkatkan harga apabila lebih ramai pembeli bersaing untuk sejumlah rumah yang terhad.
Seteruk Manakah Kesannya Kepada Rakyat?
Ketidakmampuan untuk memiliki rumah akan meninggalkan kesan yang buruk kepada rakyat. Setelah sekian lama bekerja, mereka akan berasa penat dan keadaan ini tidak baik untuk kehidupan yang sejahtera bagi mereka.
Mereka dikhuatiri akan berdepan dengan tekanan dan kebimbangan yang teruk sehingga menjejaskan kesihatan mental serta fizikal mereka sendiri.
Kesukaran dalam memiliki rumah atau membayar sewa yang tinggi boleh menyebabkan tekanan, kebimbangan dan masalah kesihatan yang lain.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melaporkan kes bunuh diri semakin meningkat yang menunjukkan terdapat 609 kes pada 2019, 621 pada 2020, 1,142 pada 2021, 981 pada 2022, dan 1,087 pada tahun lepas.
Masalah ketidakmampuan mereka memiliki rumah juga akan mewujudkan keadaan hidup yang tidak sihat apabila mereka terpaksa tinggal di kawasan perumahan yang kurang baik atau sempit.
Keadaan ini boleh menyebabkan mereka hidup dalam keadaan yang tidak sihat dan berisiko meningkatkan risiko penyakit.
Selain itu, jurang kekayaan akan menjadi semakin lebar dalam struktur sosial masyarakat. Golongan kaya akan menjadi semakin kaya dan golongan kaya akan menjadi semakin miskin.
Hal ini kerana jika hanya golongan kaya sahaja yang mampu membeli rumah, jurang antara golongan kaya dan miskin akan semakin lebar.
Kestabilan masyarakat dikhuatiri turut terjejas apabila berlakunya pengasingan ekonomi. Hal ini berlaku di mana golongan berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa tinggal di kawasan yang kurang berkembang dengan akses terhad kepada perkhidmatan dan peluang pekerjaan yang baik.
Secara keseluruhan, harga rumah yang semakin mahal dan tidak mampu dimiliki boleh membawa kepada pelbagai kesan negatif yang mempengaruhi kestabilan sosial, ekonomi, dan kesejahteraan rakyat.
Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya sudah mempunyai pelan untuk mengatasi masalah harga rumah yang semakin mahal ini.
Keadaan akan bertambah buruk jika masalah ini dibiarkan berlarutan sehingga mendatangkan kesan yang tidak baik kepada rakyat.