SHAH ALAM – Semalam sudah selesainya berlangung program wacana anjuran Wanita BERJASA Malaysia yang bertajuk Wanita, Palestin & Impian Kita yang bertempat di Dewan Serbaguna PPAS, Shah Alam. Program yang diadakan khusus untuk wanita itu berjaya menarik jumlah peserta seramai 184 orang yang mula hadir memenuhi dewan pada pukul 8.30 pagi lagi.
Antara tetamu kehormat yang menghadiri program ini juga ialah Ketua Wiranita Pusat Parti PUTRA, Puan Laila Norinda Maon, Pengerusi Biro Undang-Undang, Anti Rasuah dan Integriti Parti PUTRA, Puan Zaina Zainal Abidin, Ketua Wiranita Parti IMAN Malaysia, Ketua Wanita Persatuan Al-Hunafa’ Daerah Klang dan Pengarah Pilihanraya Dewan Muslimat PAS Selangor, Puan Norazlin Md Samsudin. Turut hadir ialah Ketua Wanita BERJASA Sepang, Prof. Dr. Shamima Abdul Rahman, Ketua Wanita BERJASA Seremban, Nor Jannah Jaafar dan Setiausaha Wanita BERJASA Pusat, Ustazah Kaslawati Kassim.
Program wacana yang dipimpin oleh Puan Safura Izyani Kamaruddin selaku moderator menampilkan dua orang speaker iaitu Ketua Wanita BERJASA, Dr. Fadilah Ashari dan Pengacara & Selebriti TV, Puan Finaz Yunus. Kedua-dua speaker masing-masing memberikan pendapat dan hujah dalam menekanan betapa pentingnya konsistensi solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin daripada cengkaman Zionis.
Puan Finaz Yunus yang berpengalaman selama berbelas tahun dalam dunia kewartawanan melihat begitu besar lompong kelemahan media negara kita dahulu dalam melaporkan isu penderitaan rakyat Palestin namun trend kesedaran dan kecaknaan rakyat Malaysia terhadap konflik ini makin meningkat hasil daripada akses Internet yang meluas.
Sambil itu juga beliau sempat berkongsi pengalaman beliau bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan iaitu Aman Palestin yang membuka pintu kepadanya untuk bergiat aktif dalam misi kemanusiaan di Palestin.
“Saya menganggap Aman Palestin sebagai ejen jodoh saya dengan Palestin kerana Aman Palestin yang bertanggungjawab membawa saya untuk aktif dalam misi kemanusiaan di sana. Banyak cabaran yang terpaksa saya melalui bersama mereka terutamanya apabila mendapat tahu sindiket membayar wang rasuah kepada tentera Mesir untuk melintasi sempadan Rafah ke Palestin namun Aman Palestin berkeras tidak menggunakan kaedah sebegitu”.
“Konflik yang berlaku di Palestin sekarang bukan sahaja mengubah sejarah Palestin itu sendiri namun telah mengubah sudut pandang masyarakat antarabangsa terhadap konflik ini yang memperlihatkan mereka lebih ramai bersolidariti terhadap Palestin”, ujar beliau.
Dr. Fadilah Ashari pula lebih memfokuskan kepada pentingnya peranan wanita dalam mendidik keluarga terutamanya anak-anak tentang kepentingan memperjuangkan isu Palestin. Hal ini dapat dibuat dengan mendidik mereka dalam soal kempen boikot produk yang menyokong Israel.
“Didikan daripada golongan ibu amat penting kepada anak-anak dalam mengingatkan mereka tentang Palestin sebagai tanah air mereka. Perkara ini lah yang tidak diajar di sekolah maka para ibu perlu mengambil tanggungjawab ini bersama”.
“Pesanlah kepada anak-anak kita, cucu-cucu kita bahawa Al-Quran adalah makanan bagi roh kita. Al-Quran juga merupakan perlembagaan kita untuk jaga negara kita”, tegas beliau.
Di akhir program juga para peserta dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah bagi meraikan peserta yang menyokong penuh penganjuran program ini.