Malaysia sekali lagi berdepan dengan cabaran membekalkan sumber makanan kepada rakyatnya, kali ini dengan isu beras. Stok beras tempatan yang tidak mencukupi ditambah lagi dengan kenaikan harga beras di pasaran telah menjadi beban kepada rakyat memandangkan beras merupakan makanan ruji. Soal keterjaminan makanan adalah berkenaan kemampuan nasional untuk berdikari dalam membekalkan nutrisi utama rakyat melalui penghasilan sumber makanan yang pelbagai.
Khalifah Umar al-Khattab telah meninggalkan teladan yang baik dalam isu keterjaminan makanan. Sikap beliau yang begitu mengambilkan berat dalam memastikan makanan rakyatnya mencukupi dapat dilihat melalui usaha yang menyeluruh bermula dari penyeliaan sumber daya bumi seperti tanah dan air, usaha penghasilan makanan (pertanian, perladangan dan perikanan) dan sistem ekonomi, sehinggalah kepada mendidik sikap kepenggunaan rakyatnya terhadap hasil bumi.
Tanggungjawab Kerajaan
Menyediakan akses makanan asas kepada rakyat keseluruhannya adalah amanah yang begitu besar bagi kerajaan kerana makanan adalah keperluan asas bagi kelangsungan hidup manusia. Kita mengikuti bahas permasalahan keterjaminan makanan dan menilai sikap sebenar kerajaan berhubung perkara ini. Terdapat teguran dan saranan yang perlu dilontarkan di sini. Keutamaan dalam menghasilkan makanan adalah bagi memenuhi keperluan asas kehidupan rakyat, kemudian barulah untuk keuntungan ekonomi.
Kerajaan juga mestilah memberikan penumpuan kepada golongan yang mengusahakan makanan mentah seperti petani, peladang, penternak serta nelayan. Dari sudut kekuatan nasional, keutamaan profesion ini seperti tentera yang menjaga keamanan negara, sedangkan golongan ini berusaha keras menghasilkan makanan yang menjadi jalan untuk memelihara nyawa setiap manusia. Justeru golongan ini perlu dibela dan diangkat kedudukannya sesuai dengan jasa kepada negara.
Guna Tanah
Aspek guna tanah merupakan syarat utama bagi meningkatkan keterjaminan makanan negara. Mengeluarkan potensi tanah bagi menghasilkan makanan memerlukan konsesi antara pentadbiran kerajaan pusat dan negeri. Guna tanah bagi tujuan meningkatkan penghasilan makanan perlu disokong dengan pelbagai insentif kepada negeri dan juga petani yang ingin mengekalkan tanaman padi. Bagi tanah terbiar atau yang tidak diusahakan, kerajaan berperanan untuk mengambil alih pemilikan bagi diusahakan untuk penanaman sumber karbohidrat yang bersesuaian.
Inisiatif ini memerlukan penelitian semula terhadap akta tanah sedia ada. Pendekatan mengambil alih tanah yang tidak diusahakan pernah dilakukan oleh khalifah Umar al-Khattab apabila beliau menarik pemilikan tanah al Aqiq dari Bilal bin Harith yang tidak diusahakan seperti yang dijanjikan kepada Rasulullah SAW dan kemudiannya mengagihkan tanah tersebut kepada kaum yang mampu mengusahakannya.
Dasar Kepelbagaian Makanan
Faktor globalisasi telah mengubah banyak cara hidup masyarakat, termasuklah dalam hal pemakanan. Sekali lagi, kerajaan perlulah mendepani perubahan budaya pemakanan masyarakat dengan bijaksana. Menggalakkan lebih banyak rantaian jenama makanan segera memasuki pasaran tempatan tentu sahaja tidak menyelesaikan masalah ini.
Dasar Kepelbagaian Makanan adalah satu usaha proaktif yang wajar dimulakan bagi mengatasi kebergantung sumber nutirisi terhadap jenis makanan tertentu. Ini kerana kemampuan untuk mendapatkan bekalan makanan mestilah sesuai dengan jenis makanan yang boleh dihasilkan berdasarkan kesesuaian guna tanah negara. Contohnya, tanaman padi sesuai di tanam di tanah liat bermakna bekalan karbohidrat dari padi akan terhad dengan terbatasnya kawasan tanah liat. Oleh itu kita perlu meneroka sumber karbohidrat yang lain yang boleh ditanam di kawasan selain tanah liat. Negara kita memiliki kawasan tanah gambut yang luas, manakala tanaman yg sesuai di tanah gambut adalah berbentuk ubi-ubian.
Dasar kerajaan perlu membantu penyelidikan dan pembudayaan supaya rakyat boleh mengubah kebergantungan sumber karbohidrat daripada nasi kepada ubi-ubian. Penyelidikan juga bertujuan untuk mempelbagaikan menu karbohidrat dari sumber baharu agar lebih menarik dan bernilai komersial. Sebelum ini kerajaan pernah menggalakkan budaya minum air kelapa muda bagi menambah nilai kelapa yang asalnya banyak bertumpu kepada penghasilan santan untuk masakan. Pendekatan yang sama boleh dilakukan untuk mempelbagaikan menu karbohidrat dari ubi-ubian samada menggunakan resipi tradisional mahupun moden.
Falsafah Keterjaminan Makanan
Terdapat tiga falsafah keterjaminan makanan daripada rumusan catatan ini. Pertama, Allah SWT menjadikan makanan sebagai keperluan asas untuk manusia mendapatkan nutrisi dan hidup dengan sihat bagi memenuhi tujuan kehidupannya. Tujuan kehidupan manusia di dunia adalah untuk beribadah serta menjalankan peranan khalifah bagi memakmurkan dunia. Disebabkan itu, kelangsung kehidupan mesti dipertahankan supaya peranan khalifah dapat dilestarikan.
Kedua, kerajaan mestilah menginsafi ancaman keterjaminan makanan yang berlaku dalam negara dan mengambil tanggungjawab untuk menyediakan ekosistem yang diperlukan bagi menyelesaikan masalah ini. Kerajaan juga mestilah mengedarkan keperluan asas (makanan) ini kepada setiap rakyat dengan adil. Ketiga, pengguna bertanggungjawab menguruskan makanannya dengan baik, iaitu dengan mengambil makanan yang mampu dihasilkan negara, mempelbagaikan masakan dari sumber tempatan seperti menggantikan kentang dengan keledek pada fries dan wages kesukaan ramai.
Pengguna hendaklah meninggalkan pembaziran (membuang makanan) serta budaya makan berlebihan (mukbang dan seumpamanya). Cabaran akan semakin sukar di hari-hari mendatang, semoga dengan muhasabah pada sekampit beras dapat meluruskan cara berfikir serta sikap kita terhadap makanan.
Persatuan Penyelidik
Sumber Asli, Pertanian dan Sekitar Malaysia
(SALAM)
Sumber – Ismaweb