SHAH ALAM – BERJASA mengecam sekerasnya siri – siri halangan dan gangguan terhadap aktiviti berkaitan Agama Islam untuk pelajar Muslim di institusi pendidikan, terutamanya di sekolah- sekolah kerajaan.
Satu surat daripada pengurusan sekolah bertarikh 21 Disember 2023 telah tular baru-baru ini di media sosial. Menerusi surat tersebut jelas menunjukkan terdapat arahan dan campurtangan untuk membatalkan program khatam Al Qur’an di sekolah kerajaan.
Ini adalah satu bentuk tindakan pelampau yang bukan sahaja menghina Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan institusi agama, malah merupakan satu penghinaan kepada YDPA yang merupakan Ketua Agama Islam di negara ini termasuklah Sabah dan Sarawak.
Walaupun dengan alasan ” mission” school, pengamalan agama Islam dan aktiviti untuk pelajar Muslim tidak seharusnya tiada siapa boleh campur tangan dan dihalang. Hal ini kerana ianya selaras dan telah pun termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan melebihi enam puluh tahun yang lalu. Maka ia perlu dihormati dan berhak untuk disebarluaskan pengamalannya di Malaysia.
Pihak KPM perlu memberi perhatian kepada pengurusan sekolah kerajaan yang menghina agama Islam dalam apa jua bentuk tindakan. Institusi kerajaan sepatutnya lebih menghayati bahawa agama Islam merupakan identiti nasional negara kita dan ia tidak boleh dipisahkan.
Sudahlah laungan takbir dan qunut nazilah tidak dibenarkan, sekarang aktiviti Majlis Khatam Al-Quran pula dilarang. Sepatutnya sekolah kerajaan dibawah kementerian lebih menghormati dan menjunjung apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan, namun perkara sebaliknya pula yang berlaku. Hal ini sungguh mengecewakan!