Shah Alam – Tiada tempat untuk menormalisasikan pluralisme agama di Malaysia. Tegas Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan dalam kenyataannya susulan program melawat rumah ibadat semua agama anjuran NGO di bawah Kementerian Belia Sukan (KBS), Impact Malaysia.
Tambah beliau dalam kenyataannya, KBS yang mewakili kerajaan perlu membawa imej negara yang mana Malaysia adalah sebuah negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan.
“Menteri KBS sepatutnya berjiwa besar dan faham berkenaan sensitiviti masyarakat Melayu tentang rumah ibadat apatah lagi masjid dan rumah ibadat orang lain”.
“Saya faham program ini diadakan dengan tujuan untuk merapatkan lagi hubungan sesama kaum di Malaysia tetapi saya lihat banyak lagi cara lain yang boleh dibuat tanpa menyentuh soal agama”.
“Iklan tersebut juga jelas mengajak kepada pluralisme agama apabila secara terang-terangan tertulis berkenaan persamaan dan perbezaan antara agama. Ingin saya tegaskan di sini bahawa adalah tidak sepatutnya menyamakan Islam dengan agama lain kerana kedudukan agama Islam itu lebih tinggi daripada yang lain pada pemahaman individu yang beragama Islam”.
Beliau berkata lagi, kerajaan dan KBS sepatutnya lebih memikirkan kepada solusi untuk memantapkan sahsiah belia dengan method pemahaman agama masing-masing tanpa menyentuh soal sentiviti agama lain.
Terdahulu, Impact Malaysia telah menganjurkan program “Jom Ziarah” yang terbuka kepada semua penganut untuk menziarahi rumah ibadat seperti masjid, gereja, kuil dan gurdwara.
Program tersebut telah berlangsung daripada 4 Mac hingga 18 Mac 2023.