Kerajaan negeri Terengganu wajar dipuji dalam usaha mereka ingin memartabatkan dan memperkasakan undang-undang syariah di Malaysia.
Hal ini dapat dibuktikan melalui keseriusan mereka untuk melaksanakan hukuman sebat ke atas pesalah khalwat secara terbuka hari ini sekali gus menjadi titik permulaan dalam sejarah undang-undang syariah negara.
Seperti yang ditegaskan oleh Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, persiapan rapi sudah dilakukan dan memastikan perlaksanaan hukuman akan berjalan dengan baik dan teratur.
Namun tidak dinafikan masih ada sebahagian rakyat Malaysia yang belum faham apakah itu undang-undang syariah terutamanya dalam kalangan masyarakat bukan Islam.
Maksud Undang-Undang Syariah & Contohnya
Undang-undang syariah adalah sistem perundangan Islam yang berasaskan hukum syarak merangkumi peraturan, prinsip dan garis panduan yang ditetapkan dalam Al-Quran, sunnah (ajaran dan amalan Nabi Muhammad SAW), ijma’ (kesepakatan ulama) dan qiyas (analogi berdasarkan prinsip hukum).
Ataupun dalam erti kata lainnya, undang-undang syariah ialah satu set peraturan dan prinsip yang mengatur kehidupan umat Islam dari segi ibadah, muamalat (urusan duniawi), jenayah, kekeluargaan, ekonomi dan sosial berdasarkan ajaran Islam.
Undang-undang syariah merangkumi pelbagai budak seperti ibadah yang memfokuskan kepada peraturan tentang solat, puasa, zakat dan haji.
Bidang yang lain pula ialah muamalat melibatkan urusan perniagaan, kontrak dan kewangan seperti sistem perbankan Islam, munakahat (hukum perkahwinan, penceraian, nafkah dan penjagaan anak), jinayat (hukuman bagi kesalahan jenayah seperti mencuri, zina dan pembunuhan), tazir (hukuman atas kesalahan yang tidak ditentukan oleh Al-Quran atau Sunnah tetapi ditetapkan oleh pemerintah) dan warisan ataupun faraid (pembahagian harta pusaka menurut hukum syarak).
Dalam mengulas mengenai pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia, ia hanya terpakai kepada umat Islam dan dikendalikan oleh Mahkamah Syariah.
Bidang kuasa Mahkamah Syariah meliputi hal ehwal kekeluargaan (nikah, cerai dan rujuk), kesalahan jenayah kecil seperti khalwat dan minum arak serta pentadbiran zakat dan wakaf.
Undang-undang ini dilaksanakan berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri masing-masing.
Namun demikian, kuasa Mahkamah Syariah adalah terhad kepada hukuman tertentu (ta’zir) seperti denda, penjara atau sebatan syariah yang dikawal oleh Akta 355 (Akta Mahkamah Syariah).
Hukuman Bersifat Mendidik Bukan Menyeksa
Ramai pihak yang salah faham mengenai pelaksanaan undang-undang syariah yang dimomokkan sebagai hukuman yang kejam dan tidak bertamadun.
Mereka harus faham bahawa hukuman ini bukan hanya bertujuan untuk menghukum pesalah namun sebagai langkah mendidik masyarakat selaras dengan prinsip maqasid syariah.
Hukuman juga dilaksanakan dengan penuh pertimbangan dan tidak dibuat secara melulu seperti yang didakwa oleh sebahagian pihak.
Contohnya dalam kes pelaksanaan hukuman syariah di Terengganu ini, tertuduh Mohd Affendi Awang diberikan penangguhan untuk dilaksanakan hukuman yang sepatutnya dilaksanakan pada 6 Disember lalu setelah membuat permohonan semakan yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah.
Bukan itu sahaja malahan pelaksanaan hukuman yang dibuat di hadapan orang ramai adalah bertujuan untuk mendidik bukannya untuk mengaibkan tertuduh.
Agak menghairankan kritikan yang diterima mengenai pelaksanaan undang-undang syariah ini datangnya daripada orang Islam sendiri.
Pelaksanaan undang-undang syariah ini sepatutnya menjadi signal kepada semua pihak untuk duduk bersama-sama mencari langkah untuk terus memperkasakan kuasa mahkamah syariah.