Shah Alam – “BERJASA amat bersetuju dan menyokong cadangan untuk memansuhkan skim pencen ahli Parlimen dan menggantikannya dengan skim lain yang lebih bersesuaian”.
Itu respon daripada Ketua Pemuda BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif mengenai cadangan yang dilontarkan oleh beberapa ahli ekonomi dan terbaru daripada bekas ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut senada dalam hal ini. Khairy Jamaluddin dalam kenyataannya di dalam podcast Keluar Sekejap bersama Tiber berpendapat penggantian skim pencen ini mungkin boleh digantikan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Mohd Hamdan dalam kenyataannya kepada Gelombang BERJASA berkata skim baharu yang boleh diperkenalkan oleh kerajaan ini perlu mempertimbangkan mengenai prestasi konsistensi kehadiran ahli Parlimen ke Parlimen. Bukan itu sahaja malahan mereka juga perlu dinilai dari sudut bebas salah laku mahupun masalah disiplin.
“Cuba bayangkan kalau bayaran pencen atau elaun tetap dibuat ke atas ahli Parlimen yang langsung tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan selama menjadi ahli Parlimen. Malahan sekarang ini pun ada di kalangan mereka yang tidak hadir ke Parlimen ketika perbahasan penting dibawa di dalam Parlimen. Agak membazir untuk membayar pencen kepada mereka sedangkan mereka tidak menunjukkan prestasi yang baik pun”.
“Dengan pengenalan skim yang memfokuskan kepada penilaian prestasi ahli Parlimen ini, saya pasti banyak dana perbelanjaan boleh dijimatkan dan dana yang sedia ada ini boleh disalurkan pelbagai keperluan utama lain antaranya pendidikan dan kesihatan. Kedua-dua sektor ini saban tahun sering berhadapan dengan ketidakcukupan dana yang diperlukan sehingga menyebabkan mereka tidak mampu mengambil pegawai dalam jumlah yang diperlukan. Akhirnya dua sektor ini mengalami gangguan operasinya sehingga menjejaskan rakyat”, tegas beliau.
Dalam kenyataan yang sama juga, beliau berpendirian bahawa semua ahli Parlimen perlu dikaji semula penglibatan mereka di dalam syarikat-syarikat swasta mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mengelakkan budaya salah laku, rasuah dan kronisme.
“Cuba bayangkan sudahlah mereka mendapat pencen yang dijamin oleh kerajaan malahan mereka juga mendapat imbuhan yang lain kerana dilantik dalam beberapa GLC penting negara. Sudah pasti mereka dapat mengumpul kekayaan daripada situ dan lari daripada tujuan asal untuk berkhidmat kepada rakyat”, jelas beliau.
Sebelum ini, hangat dibincangkan mengenai penghapusan pencen ahli Parlimen susulan ketidakstabilan ekonomi negara sehingga menekan nasib rakyat yang berada di bawah. Pemansuhan pencen ini wajar untuk dihapuskan secepat mungkin kerana selagi ia ditangguhkan, selagi itu ia memberi kesan kepada kewangan negara dan kerajaan mungkin menanggung sehingga RM50 bilion untuk pencen penjawat awam dalam masa 10 tahun akan datang sekiranya ia tidak dihapuskan.