BANGI – Ahli-ahli politik Melayu dan Islam tidak kira daripada blok kerajaan mahupun pembangkang perlu mengambil inisiatif untuk sama-sama duduk berbincang bagi memperkasakan kuasa Mahkamah Syariah. Tindakan ini perlu digerakkan secara usaha sama bagi memastikan Mahkamah Syariah terus relevan dan tidak diperkecilkan peranannya.
Kenyataan yang dikeluarkan daripada Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim merujuk kepada keputusan penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes rayuan Nik Elin Zurina binti Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha lawan Kerajaan Negeri Kelantan yang telah diputuskan pada 9 Februari 2024. Keputusan yang telah diputuskan oleh barisan hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah mendapat liputan yang luas daripada media tempatan dan antarabangsa.
Beliau yang mewakili BERJASA sedar bahawa keputusan sebegini akan menyebabkan Mahkamah Syariah di Kelantan secara khususnya dikecilkan peranannya malahan badan eksekutif kerajaan negeri sudah tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang jenayah syariah yang telah diputuskan sebagai ‘ultra vires’. Hal ini kerana hanya kerajaan Persekutuan melalui Parlimen sahaja yang boleh menggubal undang-undang berkenaan jenayah.
“BERJASA sedar bahawa walaupun kes ini dikatakan bukanlah bertujuan untuk menidakkan kewujudan Mahkamah Syariah di negara ini namun impaknya yang pasti adalah peranan Mahkamah Syariah khususnya di Kelantan semakin dikecilkan skopnya dan hanya boleh mengadili kes-kes berkenaan keluarga sahaja”.
“BERJASA juga sedar dan maklum bahawa kes Nik Elin ini bukanlah kes yang terakhir kerana selepas ini kemungkinan ada lagi permohonan (floodgate) dari pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membatalkan Enakmen Syariah di negeri-negeri lain”, tegas beliau.
Beliau mengusulkan cadangan untuk semua ahli Parlimen merentas parti duduk secara bersama berbincang bagi meminda jika perlu Perlembagaan Persekutuan dalam usaha memperjelaskan lagi kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah dengan mendefinisikan semula jenayah di dalam jadual Perlembagaan Persekutuan adalah tidak termasuk jenayah syariah.