Perbahasan mengenai tarif elektrik rancak dibincangkan oleh rakyat mahupun kerajaan sehingga mendapat campur tangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mencadangkan jadual tarif baru dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) dilaksanakan mulai 1 Julai 2025.
Datuk Seri Anwar Ibrahim lantas mengeluarkan kenyataan bahawa sebarang kenaikan tarif elektrik tidak boleh menjejaskan majoriti rakyat dan peningkatan kos kepada mereka.
Beliau dalam kenyataan yang sama juga menjelaskan kenaikan ini tidak boleh dielakkan kerana kenaikan peningkatan kos pengurusan elektrik namun ia wajar hanya dikenakan kepada golongan maha kaya sahaja.
Pihak industri juga menegaskan kenaikan tarif ini akan menjejaskan operasi perniagaan mereka terutamanya untuk sektor perkilangan.
Singapura Turunkan Tarif Elektrik Mulai Januari Hingga Mac 2025
Berbeza dengan negara jiran iaitu Singapura yang akan menurunkan tarif elektrik bermula Januari hingga Mac 2025 berikutan penurunan harga bahan api dan tenaga.
City Energy dalam kenyataannya mengatakan bahawa penurunan tarif elektrik ini disebabkan oleh penurunan tarif gas daripada 22.97 sen setiap sekilowatt-jam (KwJ) sebelum GST daripada Oktober hingga Disember kepada 22.72 sen dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Dalam tempoh tiga bulan akan datang, isi rumah di Singapura yang dibekalkan elektrik mereka daripada SP Group akan mendapat penurunan 3.4% berbanding sebelumnya.
Hal ini bermakna mereka akan menikmati bekalan tenaga elektrik sebanyak 28.12 sen sekilowatt-jam (KwJ) sebelum cukai GST yang mana harga lamanya ialah 29.10 sen sekilowatt-jam (KwJ).
Maka adakah patut tarif elektrik di Malaysia dinaikkan sedangkan TNB juga menggunakan komponen yang sama iaitu arang batu dan gas untuk menghasilkana tenaga elektrik.
Kerajaan sepatutnya berbincang bersama TNB bagi memastikan kenaikan ini tidak akan membebankan rakyat yang sudah pun ditekan dengan kenaikan kos sara hidup.
Semestinya rakyat juga merindukan suara bantahan daripada DAP yang dahulunya jaguh melakukan bantahan terhadap kenaikan ini namun kini terus senyap membisu kerana sudah menjadi kerajaan.