Persempadanan semula kawasan Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) berpotensi memberikan peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menang dua pertiga dalam pilihan raya nanti.
Penganalisis politik yang merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berkata jangkaan itu berdasarkan kajian yang dilakukan menerusi 52 sampel kawasan Parlimen yang dipecahkan lebih daripada satu kawasan.
Beliau menegaskan 52 sampel ini jika dipecahkan kepada lebih daripada satu kawasan maka PH berpeluang untuk memenangi 59 kerusi lagi.
Hal ini tidak mustahil kerana PH sudah membuktikannya dalam pilihan raya yang terdahulu apabila pecahan kerusi kawasan bandar sebelum ini dimenangi oleh mereka.
Tambah beliau, persempadanan semula ini memang tidak boleh dielakkan untuk dilakukan memandangkan sudah banyak kawasan sudah maju dari segi pembangunan maka populasi pengundi juga akan meningkat dengan pesat.
Kali Terakhir Persempadanan Semula Dilakukan Pada 2018
Mengikut rekod, persempadanan semula kawasan Parlimen di Malaysia telah dilakukan pada tahun 2018 yang mana ia dilakukan dan ditetapkan di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Sehingga kini, sebanyak lapan kali urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri telah diadakan.
Menurut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibenarkan menjalankan kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya hanya selepas lapan tahun dari tarikh selesainya kajian terdahulu.
Setiap kajian semula mesti diselesaikan dalam tempoh dua tahun dari tarikh ia bermula maka hal ini bermakna kajian semula persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya seterusnya boleh dimulakan selepas tahun 2026.
Adakah PN Mampu Bersaing Dengan PH Selepas Ini?
Soalan yang perlu dilontarkan dalam isu ini ialah sama ada Perikatan Nasional (PN) boleh menyaingi PH ataupun tidak selepas persempadanan semula ini dilakukan nanti.
Persempadanan semula kebanyakannya akan dilakukan di kawasan-kawasan bandar dan semua pihak sudah tahu bahawa kubu terkuat PH untuk mendapatkan undi terbanyak ialah di kawasan bandar.
Maka PN sepatutnya sudah merancang strategi untuk berhadapan dengan situasi ini apatah lagi akan berhadapan dengan PRU-16 nanti.
Pengundi akan semakin bersikap dinamik dan PN tidak boleh memainkan sentimen Melayu dan Islam semata-mata.
PN mungkin perlu bijak dalam mengusulkan penyelesaian ekonomi yang lebih tuntas memandangkan kawasan Parlimen di bandar akan menjadi lebih besar.
Pengundi yang tinggal di kawasan bandar lebih memfokuskan kepada isu ekonomi terutamanya kos sara hidup dan gaji minima.
Statistik miskin bandar juga semakin meningkat saban tahun maka PN perlu mencari alternatif untuk lebih agresif dalam memainkan isu ekonomi.
Hal ini tidak mustahil untuk PN boleh menang dan menyaingi di kawasan bandar seterusnya memberikan persaingan sengit kepada PH.