Tanah Rizab Melayu: BERJASA Gesa Agensi Khas Ditubuhkan, Dasar Pembangunan Khusus Segera Digubal – Ustaz Zamani Ibrahim, Presiden BERJASA

tanah rizab melayu
tanah rizab melayu

KUALA LUMPUR, 24 JunParti BERJASA menggesa kerajaan menubuhkan sebuah agensi atau jabatan khas yang bertanggungjawab mengurus dan membangunkan Tanah Rizab Melayu (TRM), sambil menyifatkan ketiadaan institusi pembangunan khusus untuk menjaga aset strategik orang Melayu itu sebagai satu kelemahan yang berlarutan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, meskipun isu ini sering dibincangkan, negara masih belum mempunyai sebuah badan yang benar-benar memberi fokus kepada pengurusan, perlindungan dan pembangunan tanah berkenaan secara menyeluruh.

Kita dah lama merdeka, tetapi sehingga hari ini masih tiada agensi ataupun jabatan yang khusus untuk berfikir dan menguruskan isu-isu Tanah Rizab Melayu,” katanya ketika mengulas isu berkenaan.

Menurut beliau, Tanah Rizab Melayu merupakan aset strategik yang menentukan ekonomi dan masa depan orang Melayu.

Orang Melayu adalah bangsa tonggak di negara ini. Tanah Rizab Melayu merupakan aset strategik kita dan perlu diuruskan dengan lebih serius,” katanya.

Fokus Kuantiti, Nilai Tanah Terabai

Mengulas perkembangan semasa, Zamani mengakui terdapat peningkatan dari segi keluasan Tanah Rizab Melayu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau merujuk data yang menunjukkan keluasan TRM kini mencecah sekitar 4.95 juta hektar berbanding sasaran asal sebanyak 6.6 juta hektar.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa peningkatan keluasan semata-mata tidak bermakna jika nilai dan kualiti tanah yang dipertahankan terus merosot.

Alhamdulillah, dari segi kuantiti ada peningkatan. Tetapi apakah itu bermakna masalah sudah selesai? Tidak.”

Kita hanya fokus kepada kuantiti sedangkan isu sebenar ialah nilai tanah tersebut,” katanya.

Beliau memberi contoh tanah rizab di lokasi strategik yang diambil, tetapi diganti dengan tanah bernilai ekonomi lebih rendah.

“Tanah bernilai jutaan ringgit di lokasi strategik diganti dengan tanah di hutan, berbukit atau terpencil.”

Keluasannya mungkin sama, tetapi bagaimana dengan nilainya? Itu persoalan yang perlu dijawab,” katanya.

Banyak Isu TRM Masih Berlarutan

Menurut Zamani, terdapat pelbagai isu tanah rizab yang masih belum ditangani secara berkesan.

Antaranya termasuk penyusutan tanah, pencerobohan, penjualan tanah rizab, tanah terbiar serta kesukaran pemilik mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.

Beliau berkata, sebahagian besar juga gagal dimanfaatkan secara optimum kerana tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

Hari ini kita lihat masih banyak Tanah Rizab Melayu yang tidak dibangunkan, terbiar atau berada di kawasan yang sukar dimajukan.

Malah ada bank yang tidak begitu berminat menerima tanah tersebut sebagai cagaran kerana faktor nilai dan potensi pembangunan,” katanya.

Perlu Dasar Baharu Bangunkan Tanah Rizab Melayu

Justeru, BERJASA berpandangan kerajaan perlu melangkaui pendekatan mempertahankan keluasan tanah semata-mata dan mula merangka dasar pembangunan yang lebih menyeluruh.

Menurut Zamani, negara mempunyai dasar mempertahankan TRM, tetapi belum ada dasar meningkatkan nilai dan produktivitinya.

Kita ada dasar mempertahankan tanah rizab, tetapi kita tidak mempunyai dasar yang benar-benar fokus untuk membangunkan dan memajukannya.”

Isunya bukan keluasan tanah, tetapi sejauh mana ia memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat Melayu,” katanya.

Beliau mencadangkan penubuhan sebuah agensi khas yang menghimpunkan kepakaran pelbagai bidang bagi merancang pembangunan tanah rizab secara strategik.

Cadang Model Wakaf dan Pajakan Jangka Panjang

Dalam pada itu, Zamani turut mencadangkan supaya kerajaan meneliti potensi menjadikan sebahagian Tanah Rizab Melayu sebagai tanah wakaf strategik yang dapat dibangunkan tanpa menjejaskan pemilikan asal.

Katanya, pendekatan tersebut boleh memastikan tanah terus kekal dimiliki masyarakat Melayu sambil menjana manfaat ekonomi jangka panjang.

Saya berharap pakar-pakar dan cendekiawan dapat dihimpunkan untuk melihat bagaimana Tanah Rizab Melayu boleh dijadikan sebagai tanah wakaf yang boleh dimajukan tetapi tidak mudah dijual.

Itu antara kaedah yang boleh memastikan tanah ini terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman ketika melawat Kemboja dan melihat model pembangunan yang membenarkan pelabur asing membangunkan industri tanpa perlu memiliki tanah.

Mereka membawa masuk pelabur untuk membina kilang, tetapi tanah tidak dijual. Tanah hanya disewakan.

Pemilikan tanah kekal terpelihara, pada masa sama peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk rakyat tempatan,” katanya.

BERJASA Mahu Isu TRM Diberi Keutamaan

Mengakhiri ulasannya, Zamani menegaskan bahawa kerajaan perlu melihat Tanah Rizab Melayu sebagai agenda strategik negara dan bukan sekadar isu pentadbiran tanah semata-mata.

“Kita bercakap mengenai jutaan hektar tanah yang menjadi aset strategik orang Melayu.”

“Sebab itu saya berpandangan sudah tiba masanya sebuah agensi atau jabatan khas diwujudkan untuk memikirkan Tanah Rizab Melayu dalam pelbagai sudut, termasuk perlindungan, pembangunan dan peningkatan nilainya,” katanya.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
suara melayu islam

Kesatuan Politik Melayu-Islam Kunci Pertahankan Hak dan Kepentingan Umat – Azrin Samsudin, YDP BERJASA Kota Raja

Related Posts