KUALA LUMPUR, 25 Jun — Pemudi BERJASA menggesa kerajaan menjadikan perlindungan kanak-kanak daripada jenayah seksual sebagai agenda nasional susulan peningkatan kes melibatkan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan mangsa seperti ahli keluarga, guru dan penjaga.
Ketua Pemudi BERJASA, Azliza Rajiain, berkata ancaman terhadap kanak-kanak semakin membimbangkan dan memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan semua pihak.
“Pembinaan modal insan berkualiti tidak akan berjaya jika kanak-kanak terus terdedah kepada jenayah seksual,” katanya.
Menurutnya, kes-kes terkini di bulan ini menunjukkan ancaman terhadap kanak-kanak semakin serius dan memerlukan tindakan segera
Ancaman Banyak Datang Daripada Orang Yang Dipercayai
Azliza berkata kebanyakan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dilakukan individu yang dikenali dan dipercayai mangsa.
Beliau merujuk kepada kenyataan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, SAC Siti Kamsiah Hassan yang memaklumkan bahawa lebih 80 peratus ancaman seksual terhadap kanak-kanak datang daripada individu dalam lingkungan terdekat mangsa seperti ahli keluarga, guru, pengasuh dan individu yang diberikan kepercayaan.
“Fakta ini sangat membimbangkan kerana ia membuktikan bahawa ancaman utama kepada kanak-kanak bukan semestinya datang daripada orang asing.
“Sebaliknya, ia datang daripada individu yang mempunyai akses, pengaruh dan kepercayaan dalam kehidupan harian mereka,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu menuntut perubahan dalam pendekatan perlindungan kanak-kanak yang selama ini terlalu tertumpu kepada ancaman luar.
Kes-Kes Terbaharu Cerminan Realiti Membimbangkan
Azliza turut merujuk beberapa kes yang dilaporkan media sepanjang Jun yang menggambarkan keseriusan masalah tersebut.
Pada 15 Jun, seorang guru lelaki direman bagi membantu siasatan kes amang seksual melibatkan bekas murid.
Pada 19 Jun, seorang lelaki dipenjara 33 tahun dan 14 sebatan kerana merogol serta mengamang seksual dua cucunya.
Sementara itu pada 22 Jun, seorang lelaki ditahan pada 22 Jun kerana disyaki melakukan kesalahan seksual terhadap anak kandungnya.
“Kes-kes ini menunjukkan bahawa kanak-kanak boleh menjadi mangsa di sekolah, di rumah dan dalam lingkungan keluarga sendiri.
“Justeru, usaha melindungi mereka tidak boleh dilakukan secara bermusim atau hanya selepas sesuatu kes mendapat perhatian umum,” katanya.
Sekolah Perlu Lebih Selamat
Pemudi BERJASA mencadangkan semakan latar belakang berkala terhadap semua individu yang mempunyai akses kepada murid.
Azliza berkata langkah itu perlu melibatkan semua pihak yang berurusan secara langsung dengan kanak-kanak.
“Kita mahu sekolah menjadi tempat yang benar-benar selamat.
“Mana-mana individu yang disyaki terlibat dalam kesalahan seksual terhadap kanak-kanak perlu digantung tugas sementara siasatan dijalankan, manakala mereka yang disabitkan kesalahan tidak boleh dibenarkan kembali bekerja dalam sektor yang melibatkan kanak-kanak,” katanya.
Pendidikan Keselamatan Diri Perlu Diperluaskan
Selain itu, Pemudi BERJASA turut menggesa pendidikan keselamatan diri diperkenalkan secara lebih sistematik di sekolah.
Menurut Azliza, ramai kanak-kanak tidak mengetahui hak diri dan cara mendapatkan bantuan ketika terancam.
“Kita perlu melengkapkan anak-anak dengan pengetahuan tentang sentuhan selamat dan tidak selamat, sempadan peribadi serta keberanian untuk melaporkan gangguan yang dialami.
“Matlamatnya bukan untuk menakutkan mereka, tetapi untuk memperkasakan mereka dengan ilmu yang boleh melindungi diri,” katanya.
Ancaman Digital Semakin Meningkat
Menurut Azliza, ancaman seksual terhadap kanak-kanak semakin meluas melalui media sosial dan aplikasi digital.
Sehubungan itu, Pemudi BERJASA menggesa kerajaan memperkukuh penyelarasan antara kementerian berkaitan seperti KPWKM, KDN, Kementerian Komunikasi, KPM dan KKM bahkan bekerjasama dengan pihak yang relevan seperti syarikat teknologi, badan antarabangsa, NGO dan universiti, bagi mengesan awal aktiviti grooming dan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian.
“Kita mahu platform digital memainkan peranan lebih proaktif dalam mengenal pasti tingkah laku mencurigakan, mengeluarkan amaran awal dan menurunkan secara segera kandungan yang menyasarkan kanak-kanak sebelum lebih ramai menjadi mangsa,” katanya.
Mangsa Tidak Boleh Dibiarkan Bersendirian
Dalam pada itu, Azliza menegaskan bahawa mangsa jenayah seksual perlu diberikan akses kepada bantuan pemulihan yang menyeluruh dan berterusan.
Beliau berkata mangsa perlu menerima kaunseling, bantuan psikososial, perlindungan keselamatan dan bantuan perundangan.
“Mangsa telah melalui pengalaman yang amat sukar. Sistem yang ada perlu membantu mereka pulih, bukannya menambah trauma melalui proses yang terlalu rumit dan membebankan,” katanya.
Perlindungan Kanak-Kanak Tanggungjawab Bersama
Azliza berkata usaha membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak.
Beliau menyeru ibu bapa supaya lebih peka terhadap perubahan tingkah laku, emosi dan aktiviti harian anak-anak, termasuk penggunaan peranti digital serta interaksi mereka dengan individu dewasa.
“Perlindungan kanak-kanak bukan tugas ibu bapa sahaja dan bukan juga tanggungjawab kerajaan semata-mata.
“Ia adalah amanah bersama yang memerlukan penglibatan keluarga, sekolah, masyarakat dan institusi negara secara bersepadu.
“Jika kita gagal melindungi anak-anak hari ini, kita sedang mempertaruhkan masa depan negara pada hari esok,” katanya.