Kuala Lumpur – Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata isu Proklamasi Orang Melayu usah dipolitikkan oleh semua pihak dan ia tidak bersifat rasis seperti yang didakwa oleh pihak lawan.
Beliau ketika dihubungi berkata, Proklamasi Orang Melayu adalah satu inisiatif yang merentasi parti dan politik kerana ia melibatkan kesejahteraan bangsa Melayu itu sendiri.
“Saya melihat Proklamasi Orang Melayu ini tidak mewakili mana-mana parti walaupun hanya melibatkan Tun Dr Mahathir dan beberapa pimpinan Ahli Majlis Tertinggi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang datang berbincang mengenai Proklamasi Melayu baru-baru ini”.
“Proklamasi Orang Melayu ini adalah untuk kesejahteraan bangsa Melayu. Maka tidak wujud apa-apa spekulasi yang mengatakan proklamasi ini adalah alat pihak tertentu untuk permainan politik”, tegas beliau.
Tambah beliau, beliau menyeru mana-mana pihak untuk menyatakan sokongan kepada Proklamasi Orang Melayu tanpa mengira parti dan fahaman politik.
Untuk maklumat tambahan, misi utama Proklamasi Orang Melayu adalah memperkasakan semula keunggulan kuasa politik orang Melayu, umat Islam dan masyarakat peribumi menjelang PRU-16.
Proklamasi Melayu adalah gagasan strategik mengenai orang Melayu, umat Islam dan masyarakat Peribumi; serta survival, keunggulan dan keselamatan kuasa politiknya; dan juga keselamatan jati diri dan keselamatan sosio-ekonominya di zaman selepas PRU-15.