BANGI – Tindakan kerajaan menarik subsidi diesel bermula tengah malam semalam dan mengapungkan harganya mengikut kaedah bayaran alternatif (APM) merupakan langkah yang berisiko tinggi. Perlaksanaan subsidi diesel secara bersasar ini ditegaskan oleh kerajaan dengan bertujuan untuk mengelakkan ketirisan berlaku namun ia dilihat masih gagal untuk membanteras isu penyeludupan diesel dan kenaikan harga barang yang tidak terkawal.
Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Lukman Al Hakim dalam kenyataannya berkata masih terlalu banyak lompong dan kelemahan yang boleh kita perhatikan daripada tindakan ini. Beliau berpendapat langkah ini diambil dengan sangat terburu-buru tanpa adanya kajian dan penyelidikan yang dibuat secara mendalam.
Sebagai contohnya, langkah terbaik untuk membanteras penyeludupan diesel ialah dengan memperketatkan penguatkuasaan bukannya dengan menarik subsidi daripada golongan tertentu kerana golongan yang layak mendapat diesel bersubsidi juga terlibat di dalam banyak kes penyeludupan.
“Ketidaktelusan sistem BUDI Madani dan pangkalan data PADU juga boleh dipersoalkan oleh ramai pihak kerana ia juga bakal mengundang pelbagai komplikasi seperti penyalahgunaan, keciciran, kecurian data dan serangan siber.”
“Bukan itu sahaja malahan saya juga menjangkakan akan adanya peniaga yang bakal menaikkan harga barangan asas makanan secara mendadak dan tidak terkawal. Walaupun sebahagian golongan ini bakal mendapat subsidi tetapi pasti akan ada yang menyalahgunakannya serta menangguh di air yang keruh”, tegas beliau.
Tambah beliau lagi, jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan juga adalah sangat kecil yang mana pemilik peribadi kenderaan diesel yang layak hanya bakal menerima sekadar RM200 sebulan.
“Kerajaan sepatutnya menyiasat secara telus dan mendalam bagi merungkaikan isu penyeludupan diesel yang dikuasain oleh kartel serta perniagaan tertentu. Segala kekuatan badan penguatkuasa seperti PDRM, SPRM, JPJ dan Maritim Malaysia harus digerakkan secara bersepadu dalam hal ini”.
“Saya juga menjangkakan penarikan subsidi ini bakal menyebabkan kumpulan penyeludup mengubah strategi dan mengalihkan fokus kepada penyeludupan petrol RON95 pula”, ulas beliau.
Beliau juga secara jujurnya tidak nampak strategi kerajaan sedia ada akan mengurangkan kos sara hidup rakyat dan mengurangkan jurang kemiskinan. Sebaliknya kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim terus menerus melindungi golongan mahakaya, menghukum golongan berada dan mengekalkan golongan miskin di tempat mereka.