Isu penderaan kanak-kanak di Malaysia semakin membarah. Menurut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati terdapat 2,240 kes penderaan kanak-kanak direkodkan di seluruh negara setakat Ogos 2024.
Statistik ini menimbulkan kebimbangan mendalam terhadap keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi dalam setiap lapisan masyarakat. Data JKM menunjukkan daripada jumlah kes tersebut, sebanyak 897 kes melibatkan penderaan fizikal, 1,260 kes penderaan seksual, manakala 83 kes pula berkaitan penderaan emosi.
Baru-baru ini, satu insiden yang menarik perhatian umum yang memaparkan seorang wanita memukul anaknya di sebuah pasar raya di Jejawi, Arau, Perlis, sebanyak 2 kali sehingga menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak tersebut dan peristiwa ini dilakukan di khalayak ramai.
Bayangkan, situasi ini berlaku di rumah atau tempat tertutup, mungkinkah perkara yang lebih teruk lagi akan berlaku? Insiden ini menggambarkan betapa seriusnya masalah ini di peringkat akar umbi masyarakat kita.
Fenomena dan Kesan Penderaan
Fenomena penderaan ini tidak hanya dilakukan oleh ibu bapa, malah juga dalam kalangan pengasuh yang diberi tanggungjawab untuk menjaga anak-anak. Insiden penderaan ini bukan sekadar kecederaan fizikal malah ada kes yang membawa kepada kematian kepada kanak-kanak terbabit.
Impak dari perbuatan ini amat mendalam, di mana kanak-kanak yang terjejas boleh mengalami trauma psikologi, kemurungan, kecemasan, serta gangguan tingkah laku dalam tempoh jangka masa panjang.
Selain daripada itu, penderaan juga boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan fizikal, akademik, dan sosial mereka, sekaligus mengganggu kestabilan emosi serta kesejahteraan keseluruhan dalam kehidupan masa depan.
Langkah Penyelesaian Yang Lebih Tegas
Sebagai langkah penyelesaian, pandangan pakar adalah agar penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dengan lebih tegas, penyediaan medium pendidikan anak-anak mengikut garis panduan Islam dan pembinaan sistem sokongan yang efektif kepada keluarga.
Langkah-langkah ini dianggap penting untuk mencegah berulangnya kejadian penderaan serta memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan dan peluang untuk berkembang dalam persekitaran yang selamat dan sihat.