Cadangan untuk mengkaji semula pelaksanaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) terus mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat, khususnya ibu bapa dan warga pendidik. Ada pihak yang menolak dengan alasan UPSR memberi tekanan kepada murid, manakala sebahagian lain melihat ketiadaannya telah mewujudkan jurang dalam penilaian tahap penguasaan asas murid sekolah rendah.
UPSR kerap disamakan dengan peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sedangkan fungsinya jauh berbeza. UPSR bukan peperiksaan penentu hala tuju akademik murid, sebaliknya hanyalah satu ujian pencapaian untuk mengukur kemahiran asas seperti membaca, menulis, mengira dan kefahaman awal.
Ketua Wanita BERJASA, Dr. Fadilah Ashari, berpandangan bahawa UPSR perlu dilihat dalam konteks sebenar sistem pendidikan rendah.
“UPSR tidak seharusnya dianggap sebagai peperiksaan ‘penentu masa depan’ murid. Ia hanyalah instrumen penilaian asas untuk mengenal pasti tahap penguasaan kemahiran teras,” katanya.
Menurut beliau, ketiadaan UPSR menyebabkan guru dan ibu bapa sukar mendapatkan gambaran menyeluruh serta seragam tentang tahap pencapaian murid di peringkat nasional.
“Tanpa satu bentuk penilaian standard, kita bergantung sepenuhnya kepada pentaksiran dalaman sekolah yang tahap dan kualitinya tidak seragam. Akhirnya, murid yang lemah tidak dikesan awal, dan masalah pembelajaran hanya disedari apabila mereka sudah berada di sekolah menengah,” ujar Dr. Fadilah lagi.
Dalam perkembangan terkini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa kajian keperluan pelaksanaan semula UPSR dan PT3 akan dijalankan tahun ini sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa kajian tersebut akan mengambil kira pandangan semua pemegang taruh termasuk ibu bapa dan pendidik.
Dr. Fadilah menyambut baik langkah KPM itu, namun menekankan bahawa sebarang keputusan perlu dibuat berdasarkan kajian menyeluruh,
“Jika UPSR dikembalikan dengan pendekatan lebih holistik, tanpa ranking sekolah dan tanpa budaya membanding-bandingkan murid, ia boleh menjadi alat yang sangat berguna untuk memperkukuh pendidikan asas negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa isu sebenar pendidikan rendah bukan kewujudan UPSR, tetapi kualiti pengajaran, sokongan kepada guru serta kefahaman ibu bapa terhadap tujuan sebenar pendidikan. Perbincangan mengenai pengembalian UPSR wajar dilakukan secara rasional dan berfakta. UPSR berpotensi menjadi cermin awal kepada tahap penguasaan asas murid.