BANGI – Penyanyi antarabangsa daripada Amerika Syarikat iaitu Bruno Mars bakal mengadakan konsertnya di Malaysia pada bulan September nanti. Konsert Bruno Mars ini dibuat melalui Jelajah Asia beliau yang turut akan mengadakan konsert di Jakarta, Tokyo, Bangkok, Singapura dan Kaohsiung.
Namun begitu, rata-rata rakyat Malaysia menolak kehadiran beliau di Malaysia kerana beliau didapati pernah menyatakan pendirian yang memihak kepada Tel Aviv dan Israel. Beliau sebelum ini pernah menyatakan pendirian dan menyuarakan rasa cintanya kepada Tel Aviv ketika mengadakan konsert di Israel pada tahun lalu.
Ini jelas menunjukkan bahawa figura ini jelas ‘berhubungan baik’ dan ‘tiada penentangan’ dengan mereka yang merupakan pelaku jenayah genosid kepada rakyat Palestin.
Pemudi BERJASA yang diwakili oleh Nor Azliza Rajiain berkata tiada keperluan yang mendesak untuk pihak kerajaan memberi kebenaran bahkan meraikan golongan seperti ini untuk hadir ke Malaysia terutamanya bagi memenuhi tujuan dan kehendak industri hiburan di Malaysia yang sensitiviti rakyatnya secara majoriti memihak kepada Palestin.
“Keadaan ini amat menggambarkan betapa kerajaan tidak konsisten dan menyeluruh pendirian mereka dalam menentang Israel dan sekutu-sekutunya”.
“Kerajaan dilihat masih ‘bersembunyi’ dalam usaha-usaha menyebarluaskan semangat dan solidariti buat Palestin secara terang tanpa ragu. Kerajaan sepatutnya sensitif dan mengambil langkah penentangan dari segala aspek merangkumi polisi hiburan dan lain-lain”, tegas beliau.
Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan melihat begitu mudahnya ‘pintu’ terbuka buat individu-individu seperti ini, akan memudahkan lagi unsur-unsur dan naratif yang tidak sepatutnya mempengaruhi minda masyarakat Malaysia, hanya atas nama hiburan dan artis.
Beliau menyarankan agar kerajaan perlu membataskan sifat toleransi dan bermudah-mudahan dengan individu yang dalam diam mahupun terang menyetujui tindakan genosid Israel kepada rakyat Palestin.
Terdahulu, gerakan-gerakan NGO yang lain juga pernah menempelak kerajaan kerana mempelawa BlackRock untuk masuk melabur di Malaysia.