akta Antidiskriminasi Kaum: Petanda Usaha Menghapus Hak Bumiputera & Islam sedang Berjalan?

Lim Guan Eng
Akta Antidiskriminasi kaum

Baru-baru ini, Lim Guan Eng Pengerusi Kebangsaan DAP membuat gesaan kepada kerajaan untuk menggubal akta antidiskriminasi kaum bagi mengawal dan mengambil tindakan terhadap pihak yang sengaja menghasut kebencian kaum. Usaha ini dikatakan penting bagi membendung aktiviti yang mempamer kebencian kaum dan apa-apa tindakan berbentuk provokatif yang boleh memecahbelahkan rakyat Malaysia

Gesaan ini mendapat respon sebaliknya dari Kementerian Perpaduan Negara, Aaron Dagong yang mengatakan tiada keperluan untuk menggubal akta tersebut kerana undang-undang sedia ada sebenarnya sudah cukup untuk memelihara hubungan antara kaum dan menguatkuasakan semula undang-undang sedia ada.

Cadangan tersebut juga disuarakan semula kerana satu peristiwa peniaga di Sepang baru-baru ini yang dikatakan enggan menjual jagung kepada masyarakat India malah menggunakan bahasa yang amat merendahkan sekaligus memberi gambaran bahawa masih ada sentimen perkauman yang tidak sihat dan rasional yang telah memberi pengaruh kepada segelintir golongan masyarakat.

Manifestasi Cara fikir ‘Malaysian-Malaysia’ DAP

Ketua Penerangan Parti Berjasa, Hamdan Sharif berpandangan bahawa cadangan Lim Guan Eng ini sebagai satu bentuk usaha menghapus segala bentuk diskriminasi termasuklah apa yang ada dalam perlembagaan seperti keistimewaan hak orang Melayu dan bumiputera serta segala yang berkait dengan Melayu dan Islam. Umum mengetahui, Malaysian-Malaysia pegangan parti DAP menyeru kepada kesaksamaan hak bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Gagasan politik yang dipegang DAP ini menolak keistimewaan kaum kerana lebih menekankan nilai kesamarataan tanpa mempertimbangkan hak istimewa Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia. Selain itu, fahaman ini menolak konsep yang terlalu mengkedepankan identiti kaum tertentu dan lebih mengutamakan konsep ‘bangsa Malaysia’ yang dikira lebih inklusif.

“Jadi sekiranya akta antidiskriminasi kaum ini ingin diteruskan, ianya akan memberi cabaran kepada intipati dalam perlembagaan terutamanya yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan bumiputera.” katanya lagi.

Dasar afirmatif sedia ada yang bertujuan menjaga khasnya kepentingan Melayu dan bumiputera yang selama ini dikecualikan dari erti kebebasan atau kesamarataan yang dijamin dalam perkara 8 (2) sudah pun berbentuk ‘diskriminasi’ positif yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

“Perlu difahami tindakan afirmatif di Malaysia tidak sama pengamalannya dengan negara lain kerana perkara 153 di Malaysia misalnya memberikan kedudukan khas kepada masyarakat yang majoriti dan ini penting bagi mewujudkan keseimbangan dalam masyarakat.” tambahnya lagi.

Cabaran kepada maslahat Islam dan Melayu

Perkara 3 Perlembagaan adalah salah satu bahagian yang paling penting kerana ia menggambarkan ketinggian kedudukan agama Islam di Malaysia berbanding agama-agama lain yang masih bebas untuk diamalkan masyarakat Malaysia. Bukan ini sahaja, perlembagaan banyak menjaga kepentingan-kepentingan pengamalan Islam untuk terus dilaksanakan dari sudut dasar dan sistem seperti Perkara 12 (2), 121 (1A), 11 (4) dan lain-lain. Kesemua ini adalah tonggak dan tiang seri Negara Malaysia bertuah.

Jadi, apabila kepentingan yang menjaga hak bumiputera dan Melayu perlahan-lahan dicabar dan dipersoalkan, ini juga boleh membuka ruang cabaran yang lebih besar kepada Islam secara langsung terutamanya dari sudut pelaksanaan peruntukan dan kedudukannya sedia ada yang telah tertulis dalam Perlembagaan.

Bayangan Implikasi Penerusan Akta Antidiskriminasi Kaum

Penerusan Akta Antidiskriminasi kaum ini dijangka boleh menyebabkan ketidakseimbangan sosial dalam kalangan masyarakat kerana tiadanya lagi tonggak bangsa yang menjadi perhatian dan keutamaan. Ini disebabkan nilai kesamarataan yang diamalkan bersama bangsa-bangsa lain akibat terhakisnya hak keistimewaan bumiputera yang termaktub dalam perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

Hamdan Sharif, Ketua Penerangan Parti Berjasa berpendapat bahawa ketegangan sosial dan ketidakstabilan politik boleh berlaku kerana agenda pemerkasaan ekonomi khususnya Melayu pastinya akan sedikit tergugat akibat perubahan dasar yang ada. Akta Antidiskriminasi kaum juga dikhuatiri boleh menyebabkan larutnya identiti Malaysia yang sebenar. Orang Melayu tidak lagi dianggap bangsa tonggak dan ciri-cirinya yang selama ini menjadi ciri-ciri kebangsaan tidak lagi menjadi dasar nasional walaupun telah lama mendominasi populasi di tanah air.

Cadangan ini juga tampaknya boleh memanggil campur tangan pihak dan negara asing secara agresif yang menginginkan Malaysia mengamalkan kebebasan total seperti mana mereka sedangkan di sini keperluan pemeliharaan Islam melalui bangsa Melayu terutamanya bahkan sejarahnya juga turut berbeza.

“Kita bimbang wujudnya langkah-langkah pembawakan naratif baharu yang akhirnya akan menghilangkan wajah Malaysia dalam 1 dekad akan datang. Apakah kita tidak menyedari jarum halus mereka yang konsisten ini? Bangunlah bangsaku!” katanya lagi.

Seruan kepada Agenda perpaduan nasional

BERJASA menerusi BINA2040 ada menyarankan bagi kerajaan untuk kerajaan membawa Dasar Identiti Nasional (DIN) yang lebih mengangkat hak keistimewaan bangsa Melayu, Bahasa Melayu dan agama Islam sebagai identiti negara yang utama.

Pembangunan jati diri dan advokasi terhadap kebudayaan dan peradaban Islam sepatutnya menjadi langkah utama oleh kerajaan bagi memberi kefahaman kepada masyarakat khususnya dari peringkat persekolahan lagi tentang teras perpaduan nasional yang mestilah bermula dengan mengiktiraf kedudukan Melayu dan Islam dalam negara.

BERJASA menyeru kepada agenda perpaduan nasional yang mengutamakan langkah-langkah di atas bagi manfaat kemakmuran dalam jangka masa panjang.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sekolah Vernakular Menghalang Perpaduan Nasional?

Next Post
hala tuju gas asli

Pelan Hala Tuju Gas Asli: Potensi Mengancam Kedaulatan Ekonomi Negara?

Related Posts