Bangi – Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi baru-baru ini di dalam bulan Mac berkata beberapa lebuh raya seperti Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Batu Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang bermula September akan menggunakan kad debit atau kredit sebagai alternatif selain Touch N Go.
Beliau menegaskan sistem pembayaran terbuka ini sebagai inisiatif awal kepada peralihan ke arah sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang sedang giat diusahakan.
Untuk pengetahuan semua, Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) merupakan sistem tol yang tidak menggunakan palang dan rumah tol, sebaliknya setiap kereta boleh dipandu laju seperti biasa sambil dikesan sistem Radio Frequency Identification (RFID) dan Automated Number Plate Recognition (ANPR).
Menurut Kementerian Kerja Raya, beberapa lebuhraya utama telahpun dipilih sebagai lokasi Proof of Concept (POC) bagi memastikan perlaksanaan kedua-dua transformasi ini akan berjalan dengan lancar.
Difahamkan kerajaan akan memilih syarikat konsesi secara tender terbuka bagi membina dan menyelenggara sistem MLFF ini nanti bermakna mungkin monopoli Touch and Go Sdn. Bhd sebagai pengutip tol di semua lebuhraya negara bakal berakhir.
Semua pengguna lebuhraya yang pernah mencuba RFID sudah tentu masih merasa trauma dan mengharapkan kegagalan sistem ini tidak berulang lagi.
Kerajaan harus memastikan transformasi sistem pembayaran tol terbuka dan MLFF ini diuruskan oleh kumpulan pakar yang telah berpengalaman luas dalam perlaksaan sistem serupa di negara-negara maju lain.
POC juga harus dilaksanakan secara berperingkat dengan sistem sokongan dan kempen kesedaran yang agresif bagi melatih semua pengguna untuk menggunakan sistem ini secara mudah dan berkesan.
Lokasi-lokasi rumah tol sedia ada yang tidak strategik dan berdekatan dengan kawasan simpang yang sesak juga hendaklah dilihat semula agar perlaksanaan infrastruktur MLFF benar-benar mampu mengurangkan kesesakan lebuhraya-lebuhraya utama negara.
Paling penting, sebarang peningkatan tambang tol yang disebabkan oleh kos pengurusan hendaklah dielakkan bagi mengelakkan beban kewangan yang bakal ditanggung oleh para pengguna.