Sijil UEC atau nama penuhnya Unified Examination Certificate (UEC) ialah sijil peperiksaan yang dikeluarkan oleh Dong Jiao Zong iaitu gabungan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia dan ditawarkan kepada pelajar sekolah menengah Cina bebas di Malaysia.
UEC menyediakan pelajar dengan pendidikan yang mengikut kurikulum dan sukatan pelajaran yang berbeza daripada sistem sekolah kebangsaan serta hanya diiktiraf di Singapura, China, Hong Kong, Taiwan, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf sijil UEC untuk kemasukan ke institusi awam atau pekerjaan dalam sektor awam kerana isu keselarasan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Namun Ahli Parlimen Raub daripada DAP iaitu Chow Yui Hui tanpa segan silu menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengiktiraf UEC di bawah sistem ambilan terus (direct intake) tanpa perlu melalui Unit Pusat Universiti (UPU) bagi syarat kemasukan ke IPTA.
Beliau cuba menyamakan UEC sama taraf dengan sijil negara asing seperti A-level, International Baccalaureate (IB) atau Australia Matriculation dengan syarat mereka tidak menerima subsidi kerajaan untuk masuk ke IPTA.
Kenyataan beliau ini menampakkan beliau langsung tidak faham mengapa UEC tidak boleh digunakan untuk kemasukan ke IPTA kerana isi mudahnya adalah ia tidak diiktiraf oleh kerajaan.
Sijil UEC Mahu Diiktiraf Tetapi Tidak Mahu Menyambut Aspirasi Pendidikan Kebangsaan
Gesaan untuk KPT mengiktiraf UEC sebagai sijil yang sah untuk kemasukan ke UPU dilihat sebagai satu tindakan yang bodoh sombong oleh ahli Parlimen Raub itu.
Sijil UEC tidak menyambut aspirasi pendidikan kebangsaan maka ia tidak sesuai untuk digunakan bagi kemasukan ke IPTA di Malaysia.
Dahulunya mereka juga yang sombong mengatakan bahawa sijil ini perlu dipertahankan untuk mengekalkan budaya dan identiti pendidikan Cina yang kononnya sudah lama bertapak di Malaysia.
Malahan mereka dengan angkuhnya mengatakan tiada masalah untuk lepasan UEC tidak boleh menyambung pengajian di Malaysia kerana masih ada institusi pengajian luar yang boleh menerima graduan UEC ini.
Kini mereka pula terhegeh-hegeh mahukan kemasukan ke IPTA secara automatik dan menampakkan begitu terdesak mahukan “keistimewaan” itu.
Berbeza dengan sijil A-level, IB dan Australia Matriculation yang mana sijil-sijil ini menggunakan bahasa Inggeris yang menjadi bahasa kedua di Malaysia selepas bahasa Melayu.
UEC pula menggunakan bahasa Mandarin yang hanya terhad digunakan dalam sektor tertentu sahaja dan tidak semua rakyat Malaysia mahir berbahasa Mandarin.
Ahli Parlimen Raub perlu datangkan logik yang lebih kukuh jika ingin samakan UEC dengan sijil-sijil asing yang diterangkan sebentar tadi.
Jika betul gesaan ini dibuat untuk membolehkan pelajar-pelajar Cina lebih ramai ke IPTA, maka hapuskan atau mansuhkan UEC dan wajibkan mereka duduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.
Kemasukan ke IPTA adalah terbuka kepada semua kaum dengan menggunakan merit bukannya kuota yang memihak kepada pelajar Melayu seperti yang dicanang oleh ahli politik DAP.