Projek Terusan Segenting Kra atau “Kra Canal” adalah sebuah projek besar yang telah lama dibincangkan melibatkan pembinaan terusan di selatan Thailand.
Projek ini berpotensi untuk memendekkan laluan perkapalan antara Lautan Hindi dan Laut China Selatan seterusnya berpotensi menyaingi laluan perdagangan di Selat Melaka.
Selat Melaka yang terletak di Malaysia selama ini telah mencatatkan 60% keuntungan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dengan setiap tahun trafik laluan kapal perdagangan adalah sebanyak 90,000 setiap tahun.
Kini catatan keuntungan ini berpotensi menurun seterusnya menjejaskan keuntungan ekonomi Malaysia kerana kapal-kapal perdagangan ini mempunyai potensi untuk menggunakan laluan perdagangan yang lebih menjimatkan masa dan kos iaitu Terusan Segenting Kra.
Terusan Segenting Kra Masih Belum Dibina Atas Faktor Kos
Terusan Segenting Kra masih belum dibina kerana ia memerlukan kos yang tinggi dengan anggaran kos sebanyak USD 28 bilion hingga USD 30 bilion.
Kos ini termasuk penggalian terusan, pembinaan infrastruktur pelabuhan, kemudahan pengangkutan, dan penyelenggaraan yang berterusan.
Kawasan selatan Thailand yang dicadangkan untuk projek ini mempunyai komuniti Muslim yang agak besar terutamanya di wilayah seperti Pattani, Yala dan Narathiwat.
Kawasan ini telah lama mengalami ketegangan politik dan sosial akibat pemberontakan dan konflik bersenjata yang berpanjangan dan pembinaan terusan ini mungkin akan memburukkan lagi ketegangan sosial dan menimbulkan lebih banyak konflik antara kerajaan pusat Thailand dan penduduk tempatan.
Kerajaan Thailand pada masa kini dilihat masih berhati-hati dalam membuat keputusan, terutamanya kerana isu kos, kesan sosial dan politik domestik.
Projek ini mungkin akan memakan masa bertahun-tahun sebelum ia benar-benar dilaksanakan tetapi ia masih menjadi salah satu projek infrastruktur paling besar dan penting yang berpotensi merubah landskap ekonomi dan politik di Asia Tenggara.
Terusan Funan-Techo Di Kemboja Hasil Kerjasama Dengan China Yang Terbaharu Akan Muncul
Memetik laporan portal berita Malaysia Now, Terusan Funan-Techo, projek menelan belanja AS$1.7 bilion yang dibiayai oleh China dan sebahagian daripada cita-cita Inisiatif Jalur dan Jalan untuk menghubungkan tanah besar dengan seluruh dunia, akan menghubungkan ibu negara Kemboja, Phnom Penh dengan pelabuhan laut dalam Sihanoukville di sebelah selatan negara itu.
Terusan ini membolehklkan kapal kargo seberat 3,000 tan untuk melaluinya malahan dikhuatiri bukan sahaja bakal menjejaskan pelabuhan-pelabuhan utama di Malaysia seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjong Pelepas malahan ia berisiko meningkatkan aktiviti ketenteraan oleh China di rantau Asia Tenggara.
Pembinaan terusan ini juga akan menjejaskan projek minyak dan gas hasil kerjasama Thailand dan Malaysia di kawasan penggalian seluas 7,250 km persegi di Teluk Thailand, di mana hasil sumber asli dikongsi sama rata.
Malaysia juga terlibat dalam kerjasama penerokaan gas dan minyak dengan Vietnam di bahagian tenggara Teluk Thailand.
Bagaimanapun, terbinanya terusan baharu itu akan membolehkan China mengembangkan sayap ketenteraannya bukan sahaja di wilayah yang menjadi perebutan, tetapi juga di negara yang mejadi sekutu rapat dengan China seperti Kemboja, di samping peluang memulakan pangkalan luar di Asia.
Keadaan ini bukan sahaja akan merugikan ekonomi Malaysia di Selat Melaka dan Teluk Thailand malahan pasti akan menimbulkan ketegangan politik di rantau Laut China Selatan.
Selepas Terusan Segenting Kra yang diwar-warkan sebelum ini untuk dibina kini Terusan Funan-Echo pula yang akan menambahkan ‘beban’ yang akan ditanggung oleh negara-negara Asia Tenggara.