Semenyih – Tindakan sebuah kedai serbaneka yang meletakkan peranti vape seakan sebaris dengan alat permainan yang lain menampakkan begitu longgarnya kawalan oleh kerajaan terhadap vape di negara kita.
Meletakkan peranti vape sebaris dengan alat permainan di kedai tersebut seakan sengaja memancing golongan kanak-kanak untuk membelinya.
Ketua Pemudi BERJASA, Nor Azliza Rajiain berkata, begitu ironi sekali apabila Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil keputusan mengecualikan cecair toksik tersebut daripada Akta Racun 1952 sedangkan pada bulan Januari lalu pihak menteri menyatakan kegusaran berhubung dengan penjualan vape yang berupa permainan yang menarik minat anak-anak bawah umur.
Sedangkan data yang diperolehi daripada Pusat Racun Negara telah pun merekodkan sebanyak 77 kes pendedahan kepada nikotin (keracunan nikotin) daripada rokok elektronik bagi tempoh 2015 hingga 2022, dan untuk tahun ini, sebanyak tujuh kes direkodkan dengan lima kes membabitkan kanak-kanak.
“Mengapa kerajaan masih memekakkan telinga apabila begitu banyak sekali bantahan dibuat oleh kumpulan -kumpulan NGO serta masyarakat? Apakah KKM telah melupakan strategi mengurangkan peratus perokok di Malaysia kepada kurang lima peratus menjelang 2040
berbanding kira-kira 21% ketika ini?”
“Mengapa kerajaan menjadi begitu selektif dalam mencontohi jiran terdekat kita iaitu Singapura? Sekiranya kerajaan begitu komited ingin mengambil idea pengurusan pembandaran di Singapura, mengapa tidak mengikut langkah negara tersebut yang sehingga kini mengharamkan penjualan, penggunaan dan pemilikan vape dan rokok elektronik”, tegas beliau.
Tambahnya lagi, mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun dilihat hanya semata-mata demi keuntungan cukai jangka pendek hasil daripada jualan vape tanpa memikirkan kos yang akan ditanggung bagi merawat komplikasi dan kesan jangka panjang penggunaan cecair bernikotin ini dalam masyarakat.
Kesilapan pihak kementerian dalam membuat keputusan berkaitan kawalan rokok elektronik ini akan memberi kemudaratan yang besar terhadap kesihatan awam terutama golongan muda. Usaha untuk melaksanakan Polisi Generasi Penamat (GEG) akan berakhir tanpa sempat ia dilaksanakan.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam proses untuk mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin dalam Akta Racun 1952 sebelum melaksanakan cukai terhadap penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dan vape.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, bagaimanapun memberi jaminan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan tetap diteruskan.