PUTRAJAYA – Pendidikan Sejarah di dalam buku teks perlu menjelaskan secara terang-terangan mengenai ketamakan British bukannya mengagung-agungkan mereka yang dipetik daripada sumber kolonial.
Pensyarah Kanan Sejarah Politik Malaysia Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmi Ariffin berkata sudah sampai masanya sejarah yang ada di dalam buku teks diperbetulkan dan ditambah baik dengan mengambil daripada sumber asal bukannya daripada catatan British.
Tambah beliau, banyak catatan sejarah yang diambil daripada peristiwa kejatuhan Melaka sehingga kemerdekaan Tanah Melayu dan Malaysia diambil daripada sumber kolonial iaitu British. Beliau mengatakan bahawa sudah tiba masanya untuk semua pihak termasuk ahli sejarawan duduk bersama untuk berbincang mengenai hal ini.
“Sebenarnya kita sudah memulakan usaha untuk membetulkan semula sejarah negara kita kerana sekarang sudah banyak sumber asal daripada arkib di United Kingdom yang boleh diakses oleh semua pihak. Jadu saya rasakan perlunya ada satu organisasi yang boleh mengumpulkan semua sejarawan untuk berbincang dalam usaha mengembalikan ketulenan sejarah negara kita”.
“Banyak sumber asal yang boleh diperoleh di arkib UK tersebut termasuk sejarah moden seperti peristiwa Malayan Union, Darurat 13 Mei malahan saya juga baharu sahaja menemui sumber terbaharu mengenai Perjanjian Pangkor daripada arkib tersebut. Maka tiada alasan untuk kita tidak memulakan usaha ini”, tegas beliau.
Beliau juga mengkritik silibus yang ada di dalam buku teks Sejarah yang dilihat lebih mengangkat peranan British berbanding peribumi itu sendiri lagi-lagi dalam konteks pemerintahan itu sendiri.
“Saya lihat silibus buku teks Sejarah lebih gemar mengangkat peranan British di dalam pemerintahan sedangkan sistem pemerintahan tempatan kita lebih baik sebenarnya. Misalnya, Negeri-Negeri Selat tidak wujud pun di dalam sumber sejarah Melayu kerana ia hanya ada dalam sumber kolonial. Hairannya, kita mengambil sumber kolonial ini dan diletakkan di dalam silibus buku teks Sejarah negara kita”, tegas beliau.
Beliau ditemui ketika membentangkan kertas kerja di wacana Deklarasi Pangkor 150 yang dianjurkan bagi memperingati kesan Perjanjian Pangkor pada 150 tahun dahulu iaitu tahun 1874.