KUALA LUMPUR – PADU menggunakan metod penyimpanan data yang ketinggalan zaman dan mudah dicerobohi oleh penggodam untuk mencuri data di dalamnya. Hal ini telah menimbulkan persoalan sama ada selamat ataupun tidak segala data milik pendaftar di dalam sistem tersebut.
Pakar keselamatan siber, Fong Chong Fook yang juga merupakan CEO LGMS Bhd berkatab ketiadaan “API gateway” di dalam sistem PADU menampakkan sistem yang digunakan oleh kerajaan Malaysia amat ketinggalan zaman. Tidak seperti kerajaan Singapura, sistem pengurusan data yang mereka gunakan mempunyai “API gateway” yang membolehkan mereka mengakses data dan menyimpan data daripada pelbagai agensi.
Tambah beliau, isu integriti PADU dalam menyimpan data milik pendaftar wajar dibangkitkan kerana jenayah pencerobohan data amat besar hingga boleh mendatangkan ancaman kepada negara. Kerajaan sepatutnya memandang serius isu ini bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku.
“Tidak guna untuk kita sekarang ini menuding jari kepada mana-mana jabatan untuk memantau data di dalam PADU kerana sekarang ini kita perlu melihat di mana puncanya untuk memulihkan kembali kelemahan ini”, tegas beliau.
Terdahulu, kerajaan Sarawak dan Sabah telah bertindak untuk mengarahkan penangguhan dibuat kepada pendaftaran sistem PADU setelah melihat terdapat kelompongan yang besar di dalam sistem ini. Isu integriti PADU dalam soal penyimpanan data telah banyak dipersoalkan oleh ramai pihak sehingga mencatatkan peratusan pendaftaran yang amat rendah dalam kalangan rakyat Malaysia.
SUMBER – Free Malaysia Today