Perkasa kembali bahasa Melayu, nilai semula keberkesanan DLP

BANGI – Cadangan memperluaskan pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) perlu dilihat secara menyeluruh dalam aspek keberkesanannya terhadap pendidikan anak bangsa.

Naib Ketua Wanita 1 BERJASA, Norzaimeen A Kadir berkata, pemahaman dalam sesuatu subjek bukan tertakluk kepada bahasa Inggeris semata-mata, tetapi harus dicapai melalui bahasa kebangsaan.

Meskipun DLP adalah sebuah program di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang dilaksanakan sejak 2016, namun seperti yang dikatakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini, langkah dilaksanakan KPM untuk mewujudkan kelas ‘non-DLP’ tidak bermakna usaha untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah akan diabaikan.

“Jangan risau mengenai bahasa Inggeris, kita ada banyak dasar lain untuk memperkukuh bahasa Inggeris. DLP hanya program, kita ada pendekatan lain untuk perkukuh bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak kita,” kata Fadhlina.

Menyokong kenyataan itu, Noorzaimeen berkata, beliau tertarik dengan konsep pendidikan di Jepun yang lebih mementingkan bahasa ibunda sebelum memperkenalkan bahasa lain kepada pelajar mereka.

“Saya lebih tertarik dengan konsep pendidikan Jepun, sementelahan kami berada di negara matahari terbit itu hampir lima tahun, dan anak-anak berpeluang bersekolah tadika dan rendah di sana. 

“Semangat cintakan bahasa ibunda mereka terserlah apabila bahasa Inggeris hanya mula diajar di sekolah menengah sahaja.

“Anak-anak di sekolah rendah, lebih ditekankan untuk menguasai bahasa ibunda, dan juga pembinaan sahsiah dan jati diri sebagai anak Jepun yang sangat berdisiplin dan kasihkan negara dan bangsa mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, rakyat Jepun telah membuktikan mereka mampu berjaya menjadi negara maju tanpa mengkompromikan bahasa ibunda mereka. 

“Semua pelajar luar negara yang belajar di sana, mesti menguasai Bahasa Jepun untuk berjaya,” jelasnya.

Namun katanya, tidak kurang juga bukti di negara Malaysia sendiri di mana persekolahan yang bermula tahun 1970, semuanya dilaksanakan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. 

“Graduan SPM 1980 adalah hasil pertama negara, melihat pelajar yang berbahasa Melayu sepanjang 11 tahun persekolahan, berjaya kembali ke tanah air setelah empat tahun atau lebih, melanjutkan pelajaran ke luar negara. 

“Mereka berjaya menguasai bahasa Inggeris di sana dan kembali sebagai anak Malaysia yang mahir berbahasa Inggeris, tetapi tetap berbangga dengan bahasa Melayunya,” katanya.

Memberi pilihan kepada pelajar dan ibu bapa membuat pilihan mahukan sekolah berdwibahasa atau tidak, ada pro dan kontranya

Mengulas lanjut, Norzaimeen berkata, bagi pelajar yang memang sudah sedia mahir berbahasa Inggeris termasuk menggunakannya sebagai perbualan seharian, mungkin tiada masalah untuk menguasainya dalam mata pelajaran Matematik dan Sains, malah mungkin dapat memperkasakan lagi bahasa Inggeris mereka.

Tetapi, tegasnya, keadaan berbeza bagi mereka yang hanya mahu mencuba-cuba dan menaruh harapan dapat menguasainya apabila mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Saya bimbang fenomena ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong, berciciran’ pula yang berlaku. Makanya kuasailah subjek Matematik dan Sains itu dalam bahasa kebangsaan kita,” katanya.

Begitu pun, Norzaimeen berpandangan, ini tetap akan memberi impak negatif lain kepada pelajar-pelajar secara keseluruhannya apabila di sekolah tersebut mempunyai kelas DLP dan ‘non-DLP’.

Antara kekhuatirannya adalah jurang kemahiran berbahasa Inggeris menjadi semakin lebar, dan tidak mustahil berlaku diskriminasi antara pelajar kelak.

“Apabila jurang semakin lebar, perpaduan antara mereka juga dalam risiko,” katanya.

Justeru, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sepatutnya menjadi agen perpaduan, tetapi bermasalah jika bahasa ini dilihat tidak kompeten dan tidak layak untuk dibanggakan sebagai bahasa kebangsaan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan untuk memperkasakan dengan betul pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah-sekolah, sama ada di bandar atau di luar bandar. 

“Pastikan tiada keciciran, terutamanya di kawasan kampung. Cara mengajar dan belajar yang berkesan perlu dilihat semula dan ditambah baik supaya matlamat tercapai. Hentikan sikap ‘asal buat’ tetapi tidak fokus pada objektif.

“Selain itu, pelajari rahsia Jepun menguasai bidang teknologi sehingga berjaya menjadi negara maju, walaupun bahasa ibundanya tetap menjadi bahasa utama di seolah-sekolah. 

“Contohi semangat mereka dalam memertabatkan Bahasa Jepun, bahasa ibunda mereka,” katanya.

Mulai tahun ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mewajibkan sekurang-kurangnya satu kelas pengajaran sepenuhnya dalam bahasa Melayu untuk murid Tahun Satu di sekolah yang melaksanakan DLP.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira usaha memperkasa penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid.

Sumber: Ismaweb

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

DAP Bersikap bacul dengan menunggang parti melayu

Next Post

Hanya Orang Penakut, bacul cadang rUU kerajaan Sepenggal

Related Posts