Dilema Identiti Negara Malaysia Melalui Bahasa

Persoalan mengenai identiti negara Malaysia sering diperdebatkan hingga kini sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ada yang mengatakan Malaysia membawa imej sebagai sebuah negara Islam dengan berpandukan kepada demografi rakyatnya yang majoriti beragama Islam dan pemimpinnya wajib beragama Islam.

Namun demikian, ada pihak lain yang membantah pendapat ini kerana berpandangan Malaysia adalah sebuah negara sekular atau liberal kerana meraikan kemajmukan masyarakat tanpa paksaan dalam beragama.

Dalam soal yang lain pula, timbul juga perdebatan mengenai bahasa apakah yang sesuai untuk melambangkan identiti negara Malaysia ini.

Disebabkan kemajmukan yang ada pada rakyat Malaysia, mereka saling ‘bersaing’ untuk menggunakan bahasa Melayu, bahasa Mandarin atau bahasa Tamil.

Perdebatan mengenai isu ini menyebabkan identiti negara kita bersifat kabur dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri.

Bahasa Melayu Merupakan Identiti Negara Malaysia

Sebenarnya isu mengenai perdebatan bahasa Melayu sebagai identiti negara Malaysia sudah pun jelas kerana Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu.

Penjelasan ini sepatutnya sudah menoktahkan perdebatan mengenai bahasa yang melambangkan identiti Malaysia kerana jelas jawapannya adalah bahasa Melayu.

Perkara ini memperuntukkan bahawa bahasa Melayu mesti digunakan dalam urusan rasmi kerajaan dan dalam pendidikan sebagai bahasa utama.

Pengiktirafan ini mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai simbol kedaulatan negara dan sebagai alat perpaduan nasional.

Jika diimbas kembali sejarah yang ada di Tanah Melayu dahulu, bahasa Melayu telah digunakan di Kepulauan Melayu selama berabad-abad sebagai lingua franca (bahasa perantara) di kalangan masyarakat setempat dan pedagang dari berbagai negara.

Ia berkembang sebagai bahasa perdagangan, diplomasi, dan hubungan antarabangsa di rantau ini. Semasa Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15, bahasa Melayu digunakan secara meluas dan menjadi bahasa rasmi kerajaan Melaka yang kemudian menyebar ke seluruh Nusantara.

Selain itu, bahasa Melayu merupakan bahasa yang amat sesuai dalam menonjolkan identiti negara Malaysia memandangkan ia diguna secara meluas dalam komunikasi harian, media massa dan penerbitan di Malaysia.

Hal ini telah menyatukan rakyat Malaysia dalam pelbagai bidang kehidupan seperti ekonomi, sosial, dan politik.

Penggunaan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian mengekalkan relevansi dan keberkesanannya sebagai bahasa kebangsaan yang melambangkan identiti Malaysia.

Ramai juga pihak terlepas pandang bahawa bahasa Melayu adalah salah satu simbol penting kedaulatan negara Malaysia.

Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan dalam undang-undang menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara yang berdaulat dengan identiti sendiri.

Kerajaan Perlu Bersikap Tegas Dalam Isu Ini

Polemik yang berpanjangan ini sebenarnya boleh diselesaikan oleh kerajaan jika kerajaan mampu bersikap tegas dalam isu ini.

Kerajaan sebagai pihak yang mempunyai autoriti tertinggi boleh bertindak tegas dalam memastikan bahasa Melayu kekal sebagai identiti negara Malaysia yang utama.

Usah bersikap terlalu apologetik ataupun berlembut kerana ia melibatkan imej negara secara amnya.

Isu ini boleh diselesaikan jika kerajaan mampu menghapuskan sekolah vernakular dan meletakkan semua kaum di bawah sistem sekolah atau pendidikan yang sama iaitu sekolah kebangsaa.

Namun lihat gayanya langkah ini juga sukar ataupun langsung tidak akan diambil tindakan oleh kerajaan.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sejarah Penentangan Malayan Union Oleh Orang Melayu

Next Post

Hormati Islam Sebagai Agama Rasmi Malaysia

Related Posts